DIARI MEDIA

WARTAWAN PERLU PEGANG TEGUH KEPADA KOD ETIKA - RADZI JIDIN

13/09/2020 11:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Wartawan perlu terus berpegang kepada kod etika dalam bidang penulisan bagi membezakan diri mereka sebagai golongan profesional dengan individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata keadaan kini memperlihatkan ramai yang menjadi “wartawan” dan boleh menulis serta menyebarkan maklumat dengan mudah ekoran perkembangan teknologi canggih.

Bagaimanapun katanya, terdapat perbezaan antara wartawan dengan individu berkenaan iaitu dari segi kesahihan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.

“Amat penting dunia kewartawanan hari ini terus berpegang kepada core values (teras etika) untuk memastikan masyarakat boleh berpegang kepada berita, maklumat yang ditulis dan analisis oleh wartawan dan penulis.

“Apa yang penting adalah kesahihan maklumat, ini merupakan kelebihan yang ada pada para wartawan, threshold level (tahap ambang) yang digunakan oleh wartawan secara umumnya apabila bercakap tentang kesahihan maklumat adalah jauh lebih tinggi,” katanya ketika berucap mewakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) di sini, malam ini.

Sungguhpun begitu, menurut Radzi, beliau melihat terdapat kecenderungan bahawa kesahihan maklumat yang disampaikan wartawan kadangkala tidak mencapai tahap yang memuaskan.

“Ini secara tidak langsung, sekiranya maklumat yang diberi tidak benar, ia boleh menjejaskan kualiti atau hasil pemberitaan tersebut.

“Apa yang saya lihat adalah teras etika ini mesti terus dipertahankan supaya apabila masyarakat ingin merujuk kepada sesuatu isu yang ditulis, tempat rujukan utama adalah melalui tulisan-tulisan wartawan profesional dengan kesahihan maklumat yang boleh dipercayai,” katanya.

-- BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)