TINTA MINDA

KESEDARAN RAKYAT PERLU UNTUK MEMBANGUNKAN EKONOMI NEGARA

14/09/2020 09:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal

‘Malaysia Prihatin‘ telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini dan ia selaras dengan usaha dan inisiatif kerajaan bagi mendepani cabaran akan datang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat setelah berlakunya pandemik COVID-19 sejak awal tahun ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan amanat sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Putra, Putra Jaya baru-baru ini menegaskan bahawa tema tersebut dipilih sebagai satu penzahiran pihak kerajaan dan rakyat yang sedia berkorban, berjuang dan bersatu padu pada waktu susah dan senang demi kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Berganding bahu membendung COVID-19

Menyentuh tentang sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, walaupun tidak ada majlis sambutan besar-besaran seperti lazimnya dan kita masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga kerana masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kesan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan terhadap ekonomi, khususnya pendapatan negara dan juga rakyat. Bagaimanapun, kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana pihak kerajaan masih berupaya untuk mengurus pentadbiran negara dengan baik.

Rakyat juga terus bergerak kehadapan demi kemajuan, kehidupan masa depan dan bersama-sama berganding bahu untuk bangkit daripada pelbagai masalah kesan dari pandemik COVID-19 ini. Kita perlu menyedari bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan anugerah dan rahmat-Nya kepada negara kita dengan kekayaan sumber alam yang tidak terdapat di negara-negara lain, di samping kekayaan daripada aspek nilai modal insannya.

Namun, satu perkara yang perlu kita ingati dan mengambil iktibar ialah supaya kita tidak menjadi seperti negara-negara yang lain yang pada asalnya kaya, makmur, maju dan gemilang, tetapi kemudian hancur dan musnah. Antara punca kejatuhan dan juga kemunduran negara-negara tersebut ialah produktivitinya yang rendah dan juga faktor kemalasan atau tidak produktif daripada segi modal insannya.

Berikut antara fakta yang perlu kita perhatikan. Sebagai contoh negara yang telah maju seperti negara Jepun umpamanya. Sebanyak 80 peratus negara Jepun merupakan kawasan pergunungan sementara penduduknya dalam lingkungan 20 juta orang sahaja. Di samping itu, negara Jepun juga terletak di kawasan garisan ledakan gunung berapi dan juga kawasan gempa bumi. Negara Jepun juga baru bangkit semula dalam tempoh 60 tahun yang lalu setelah hancur akibat ledakan bom atom dalam Perang Dunia Kedua yang telah banyak memusnahkan infrastruktur negaranya. Persoalannya bagaimanakah Jepun mampu mencapai kemajuan yang luar biasa yang mengagumkan banyak negara lain?

Perubahan sikap

Sungguh aneh kerana biasanya kita sering menuding kepada pihak pemerintah yang bertanggungjawab di atas kemunduran umat dan negara. Pada hakikatnya, kitalah sebenarnya yang mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dari mereka. Masalah yang kita hadapi perlu diselesaikan oleh kita dan segala jawapannya ada pada diri kita sendiri. Masalah utama yang dihadapi ialah masalah kemalasan dan melakukan kerja bersungguh-sungguh merupakan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Faktor kemalasan dan ketidaksungguhan bekerja dalam kalangan umat di negara-negara yang kurang maju, terbukti dengan fakta bahawa purata jam produktif bekerja dalam kalangan rakyatnya hanya 12 minit bahkan boleh menurun hingga ke tahap lima minit dalam tempoh lapan jam. Ini berbeza dengan negara Jerman yang rakyat bekerja dengan produktif purata tujuh jam sehari manakala negara Jepun mencapai tahap produktif purata sehari adalah 8 jam sehari. Oleh yang demikian terdapat kata-kata atau pendapat yang berbeza mengenai perkara ini. Ada yang menyatakan, “ ini kemampuan kita dan itu kemampuan mereka” dan ada pula yang menyatakan, “mulai sekarang kita perlu menentang kelesuan kemalasan intelektual, mental dan jasmani serta mengimani bahawa produktif adalah sebagai dari tuntutan agama seperti yang telah disabdakan oleh Nabi yang bermaksud, bekerja adalah ibadah”.

Kita mungkin pernah berjumpa dengan seorang yang tidur pada pukul 2 pagi untuk menyiapkan kerjanya dan kemudian terpaksa bangun untuk bekerja semula pada pukul 8 pagi. Akhirnya dia lambat datang ke pejabat dan dia juga mengantuk, letih dan lesu serta tidak mampu melakukan tugas dengan baik. Inilah kemalasan intelektual yang berlaku dalam kalangan kita pada hari ini.

Dalam kes yang lain, seorang yang tidak pernah terlibat dengan aktiviti sosial atau sukan dan asyik berhibur dan kesannya dia tidak mempunyai semangat kekitaan dan juga patriotisme kepada tanah airnya sendiri. Adakah orang seperti ini mampu mencapai kejayaan dan merubah masyarakat dan dirinya? Atau inilah generasi muda yang akan merubah negara dan masyarakat? Syeikh Sya’rawi, tokoh ulama Mesir pernah mengungkapkan, “ sesiapa yang tidak makan hasil dari jerih payahnya sendiri, maka ia tidak memiliki kebijaksanaan di kepalanya”.

Sehubungan itu, dalam konteks negara kita Malaysia yang telah merdeka sejak 63 tahun yang lalu, bumi kita subur mempunyai pelbagai hasil dan sumber alam yang kaya. Kita juga tidak kurang daripada segi sumber tenaga manusia atau modal insannya.

Dalam satu kisah, Rasulullah memasuki masjid ketika masih di luar waktu solat dan didapati Abu Umamah berada dalam masjid dan Rasulullah bertanya, “mengapa kamu duduk di sini?”. Abu Umamah menjawab, “ hutang yang banyak dan kerisauan yang melanda”. Rasulullah kemudian mengajar satu doa yang bermaksud, “ Ya Allah aku berlindung dari-Mu perasaan gelisah dan sedih dan aku berlindung dari-Mu ketidakmampuan dan kemalasan”.

Berdasarkan doa yang dibacakan oleh Nabi itu ternyata ketidakmampuan dan juga sikap malas merupakan dua penyakit berbahaya, kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah semoga penyakit tersebut dijauhkan daripada kita. Selain itu, hari ini ramai dalam kalangan anak-anak muda yang memilih untuk menganggur daripada bekerja dengan alasan kelulusan atau ijazah yang mereka miliki tidak sesuai dengan kerja yang ada di pasaran. Dalam aspek ini Allah SWT telah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).(al-Mulk 67: 15)

Berdasarkan ayat di atas Allah SWT telah memberikan formula ibadat kepada-Nya. Kita dituntut untuk melakukan solat dan kemudian diminta untuk berusaha mencari nafkah dan tidak duduk termenung, bersikap malas dan mengharap rezeki datang seperti meminta sedekah. Dalam ayat yang lain Allah SWT tentang galakan bekerja setelah solat malam. Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya Engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang Yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu); padahal Allah jualah Yang menentukan Dengan tepat kadar masa malam dan siang. ia mengetahui Bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira Dengan tepat kadar masa itu, lalu ia menarik balik perintahNya Yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana Yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). ia juga mengetahui Bahawa akan ada di antara kamu orang-orang Yang sakit; dan Yang lainnya orang-orang Yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan Yang lainnya lagi orang-orang Yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamanya). maka bacalah mana-mana Yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (ikhlas). dan (ingatlah), apa jua kebaikan Yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan Yang sebaik-baiknya dan Yang amat besar pahalaNya. dan mintalah ampun kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (al-Muzammil 73:20).

Kita sering menemui pandangan yang keliru tentang orang yang taat terhadap agama tetapi gagal dalam bidang pekerjaan kerana tumpuan yang berlebihan dalam ibadatnya. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi sedangkan semua orang mempunyai pekerjaan? Al-Quran sering menekankan paduan antara aspek iman dan amal soleh. Tidakkah kerja seorang doktor yang membantu pesakit itu satu bentuk amal soleh? Atau ia tidak termasuk dalam amal soleh? Firman Allah SWT, “Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu Wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur”. ( as-Saba’ 34:13)

Keikhlasan bekerja

Dalam hal ini jika kita mampu bekerja dengan baik, maka kerja yang baik dalam tempoh yang panjang itu merupakan tempoh kebaikan. Niatkan bahawa segala seluruh aktiviti atau profesion kita itu sebagai amal jariah yang merupakan sumbangan kepada seluruh umat dan agama. Umar al-Khattab mengerjakan ladangnya secara berganti-ganti dengan salah seorang ahli Ansar. Sehari ia bekerja dan sehari dia bersama Rasulullah. Bagi Abu Bakar as-Siddiq pula yang keimanannya menyamai iman seluruh umat, pernah tiga kali menyumbangkan seluruh kekayaannya untuk kaum Muslimin, sewaktu hijrah, Perang Tabuk dan ketika memerangi murtad. Memang tidak menghairankan negara Abu Bakar seorang peniaga yang berjaya.

Begitu juga bagi Uthman al-Affan dan Abdul Rahman bin Auf yang banyak memberikan sumbangan kerana mereka juga peniaga yang berjaya. Mereka adalah di antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga. Umar al-Khattab pernah berkata, “ Demi tuhan, aku tidak ingin ajalku menjemput kecuali dalam dua keadaan, saat berjuang di jalan Allah ataupun ketika mencari nafkah”. Berdasarkan kenyataan Umar al-Khattab ini ternyata betapa pentingnya pekerjaan dalam hidup kita!

Kebangkitan umat ditentukan oleh keikhlasan kita bekerja dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan umat. Bila keseluruhan umat telah bertekad untuk bekerja dengan kuat dan semangat segala masalah dapat diselesaikan dan kemajuan umat serta negara dapat dicapai. Ingatlah bahawa perubahan tidak akan wujud, selagi kita masih bergantung pada orang lain. Ini menepati firman Allah dalam surah al-Ra’du ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

-- BERNAMA

Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemmpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)