KOLUMNIS BERNAMA
02/09/2020 04:50 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Tanggal 2 September setiap tahun adalah tarikh yang tidak mungkin dilupakan dalam kalangan “fraternity” kewartawanan di Malaysia.


Pada tarikh ini, sembilan tahun lalu, kami (pengamal media di Malaysia) kehilangan seorang rakan seperjuangan yang maut ketika membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.


Rakan seperjuangan itu adalah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV, yang ketika itu baru menjengah usia dewasa 40 tahun iaitu usia yang sama dengan penulis ketika ini.


Jujurnya, saat itu, penulis bukan hanya kehilangan seorang rakan seperjuangan tetapi kehilangan seorang senior yang kami semua wartawan muda pada ketika itu anggap sebagai seorang “abang”.


Noramfaizul adalah seorang jurukamera, tetapi perilaku dan pemikirannya persis seorang wartawan yang “resourceful” (bermaklumat).


Setidaknya-tidaknya ini pandangan penulis kepada Allahyarham sepanjang lebih enam tahun penulis berkhidmat di agensi berita Bernama dari Februari 2004 hingga Ogos 2010 bermula sebagai wartawan kadet.


Malah tugasan terakhir penulis di Bernama (Ogos 2010) sebelum berhijrah ke Berita Harian pada September 2010 adalah liputan misi kemanusiaan di Gaza, Palestin, yang turut disertai Allahyarham Noramfaizul yang mewakili Bernama TV.


Masih segar di ingatan penulis bagaimana di Gaza, kami terpaksa bermalam di Hospital Al-Quds di Talel Hawa di tengah-tengah Gaza City .


Bilik rawatan yang menjadi tempat penginapan kami kumpulan media Malaysia ketika itu hanya mempunyai satu tingkap dan tidak mempunyai kipas.


Maka berpeluh-peluhlah kami di dalam bilik itu, terutamanya rakan setugas penulis dan jurufoto Bernama, Shahrizan Jefri Aziz yang berbadan besar.


Hospital Al-Quds yang dikendalikan Bulan Sabit Merah Palestin itu antara bangunan yang dibedil tentera udara Israel ketika serangan rejim ke atas wilayah Gaza pada akhir 2008 hingga awal 2009.


Ketika menginap di situ, kami dapat melihat dengan jelas kesan bedilan helikopter Apache Israel di dinding hospital itu yang penuh dengan lubang-lubang, sekali gus membuktikan kezaliman tentera Zionis yang turut membedil fasiliti kesihatan.

‘NON-COMBATANT’ TIDAK BOLEH DIJADIKAN SASARAN


Di bawah Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), bangunan seperti hospital tidak seharusnya dijadikan sasaran pihak bertelagah dalam konflik bersenjata.


IHL juga menetapkan mereka yang diklasifikasikan sebagai orang awam dan ‘non-combatant’ (bukan anggota pasukan tempur) seperti petugas perubatan dan petugas media, tidak boleh dijadikan sasaran.


Dalam konflik, hanya mereka yang tergolong dalam tiga kelompok iaitu combatant (anggota pasukan tempur), ‘levee en masse’ dan orang awam yang terbabit secara langsung dengan keganasan boleh dijadikan sasaran.


‘Levee en masse’ merujuk kepada tindakan orang awam yang mengangkat senjata dan terbabit secara langsung dalam konflik, sekali gus menjadikan kelompok itu sasaran sah dalam sesebuah konflik bersenjata.


Berbalik kepada Allahyarham Noramfaizul, penulis masih ingat bagaimana beliau menjadi rujukan kami (wartawan muda Malaysia) di Gaza ketika membuat beberapa keputusan membabitkan liputan misi kemanusiaan di wilayah konflik itu.


Sering membahasakan dirinya sebagai “abang” ketika berbicara, Noramfaizul juga adalah seorang yang peramah, tidak lokek ilmu dan sering memberi tunjuk ajar kepada yang bertanya.


Ketika itu, hubungan antara wartawan kanan dengan wartawan muda tidak mempunyai jurang yang lebar dan kami saling melengkapi. Ini khazanah kewartawanan yang mahal pada suatu ketika dulu kerana resam adab dan hormat di sebalik yang muda mahu belajar dan yang tua mahu mengajar.


Sebagai wartawan yang membuat liputan di zon konflik dan bencana secara serius sejak 2008 (misi pertama ke Gaza, Palestin bersama Aman Malaysia), penulis percaya ada perbezaan antara pengalaman dan ilmu.


Ilmu adalah sesuatu yang sesiapa sahaja boleh belajar di kuliah, tetapi pengalaman adalah ilmu yang diuji kegunaannya dalam situasi sebenar.


Ia membentuk berbezaan antara individu dengan kepandaian (ilmu) dan kebijaksanaan (adab, ilmu dan pengalaman).

ILMU VS PENGALAMAN


Seseorang wartawan yang tidak mempunyai pengalaman mungkin berdepan dengan masalah hanya untuk menentukan di manakah lokasi yang selamat untuk pasukannya bekerja di sesebuah kawasan bencana?


Atau persoalan di tingkat manakah yang lebih selamat untuk didiami di sesebuah hotel 12 tingkat di zon konflik (perang)? Adakah menginap di tingkat paling bawah, tengah atau tingkat paling atas yang selamat? (Persoalan ini akan dijawab penulis dalam artikel yang lain)


Berbalik kepada Noramfaizul, insiden Allahyarham yang terkorban akibat terkena tembakan peluru sesat ketika membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, pada 2 September 2011, tidak seharusnya dilupakan rakyat Malaysia, khususnya kelompok wartawan.


Pengorbanan Allahyarham yang membuat liputan misi kemanusiaan dan isu kemarau serta kebuluran di Somalia untuk rakyat Malaysia pada 2011 membuktikan betapa mahalnya harga sebuah berita dan harga yang terpaksa dibayar kami, orang media.


Penulis masih ingat bagaimana kematian Allahyarham Noramfaizul telah menyebabkan organisasi media di Malaysia mula memberikan tumpuan kepada latihan khusus buat wartawan yang ditugaskan di zon konflik dan bencana.


Ketika itu, New Straits Times Press (NSTP), Media Prima, The Star dan Astro Awani antara organisasi media yang menghantar wartawannya menyertai latihan-latihan khusus, termasuk menyertai latihan misi asas anjuran Mercy Malaysia pada akhir 2011.


Latihan yang antara lain merangkumi persediaan berdepan situasi cemas termasuk simulasi terperangkap dalam “cross-fire” dan situasi tebusan itu bertujuan melengkapkan kelompok wartawan dengan ilmu mencukupi ketika bertugas di zon konflik dan bencana.


Institut Akhbar Malaysia (MPI) juga turut menganjurkan kursus liputan di zon konflik dan bencana yang antara lain menjemput wartawan perang terkenal, Peter Arnett sebagai penceramah, dalam usahanya melatih kelompok wartawan yang bakal dihantar ke zon konflik dan bencana.

RISIKO DI ZON KONFLIK DAN BENCANA


Reporters Without Borders (RSF) melaporkan secara purata 80 wartawan terkorban setiap tahun di zon konflik dan bencana untuk beberapa dekat yang lalu.


Tahun lalu sahaja, seramai 389 wartawan ditahan dipenjara kerana melaporkan kebenaran dengan separuh daripadanya ditahan di China, Mesir dan Arab Saudi.


Laporan RSF juga menyatakan seramai 57 wartawan dijadikan tebusan dengan majoritinya di Syria, Yaman, Iraq dan Ukraine.


Apa yang pasti, data di atas jelas menunjukkan betapa karier kewartawanan yang kini berdepan dengan cabaran media digital yang terbuka dan tidak dikawal, walaupun dicabar dan tercabar, masih berpaksi pada asas yang tidak pernah berubah iaitu melaporkan kebenaran.


Kebenaran adalah hak dan ia pasti mengatasi yang batil. Kebenaran seharusnya menjadi asas yang tidak boleh ditukarkan ganti dengan trend untuk menjadi tular kerana sesuatu yang tular tidak semestinya benar!


Apa yang pasti, sesuatu bahan yang dibuat dengan tujuan untuk tular kebiasaannya tidak akan tular. Sebaliknya, sesuatu yang dilakukan dengan jujur dan benar akan mendapat perhatian umum dan tular.


Hakikatnya, kewartawanan adalah profesion yang jauh daripada glamour seperti mana yang terbiasa dalam kalangan generasi masa kini.


Semalam, empat pelatih dari Unisel yang memulakan hari pertama latihan praktikal di Bernama memberitahu penulis mereka mahu menjadi wartawan kerana minat dan mahu dikenali dan mengukir nama di media massa.


Nasihat penulis, fokus kepada satu bidang yang kalian percaya kerana minat sahaja tidak akan mencukupi. Kepercayaan bahawa kewartawanan itu melebihi daripada sekadar laporan berita yang baik, gambar yang cantik dan visual yang memukau, akan membolehkan kalian bertahan dalam bidang yang semakin mencabar ini.

Hakikatnya, harga sebuah berita amat mahal. Kisah Allahyarham Noramfaizul, yang mana potret terakhirnya di Mogadishu, Somalia pada 2011 yang boleh dilihat di Wisma Bernama adalah ingatan buat kita semua, tentang kenapa kalian menjadi wartawan? Al Fatihah.

-- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan