SUARA BELIA

JENAYAH SEKSUAL PERLU KESEDARAN TUNTAS

21/08/2020 09:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Irfan Faruqi

Jenayah seksual merupakan isu yang tabu bagi masyarakat Malaysia. Tabu dalam erti kata kita tidak membincangkan tentang perkara ini secara terbuka dan jujur dalam ruang umum. Perkara-perkara berkaitan aktiviti seksual dan isu-isu berkaitan seksualiti selalu dihadkan kepada perbincangan berahsia. Ya, berahsia. Membuka isu ini untuk dibincangkan secara terbuka secara objektif meresahkan sesetengah pihak.

Tidak dilaporkan bukan bermakna masalah tidak wujud

Terusik bagaimanapun hati apabila menyentuh isu seksual dan seksualiti ini, sama ada terusik secara tidak senang atau tidak selesa, mesti diakui bahawa perkara ini adalah suatu yang sangat serius. Secara statistiknya, umum boleh mendengus secara sarkastik dan menyatakan bahawa isu ini tidak wujud dahulu. Tidak pernah pula orang sibuk mendesak agar isu individual ini dibincangkan secara awam. Mengapa pula masalah ini menjadi parah hari ini? Maknanya, ini masalah generasi muda, bukan masalah isu seksual itu.

Secara tegas boleh dikatakan, hanya kerana perkara ini tidak berbangkit dahulu, tidak bermakna perkara ini tidak pernah wujud. Dan faktor utama perkara ini tidak menjadi suatu isu yang berat dan utama adalah kerana kurangnya data dan statistik dilaporkan kepada umum. Dalam artikel ini, penulis berusaha dalam segala keterbatasan sumber maklumat, data dan laporan rasmi, untuk membuktikan kepada pembaca betapa jenayah seksual merupakan realiti yang sangat menyayat hati.

Angka-angka gelap yang tidak berupaya dizahirkan

Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diterbitkan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menunjukkan bilangan kes gangguan seksual yang secara relatifnya rendah; antara 82 hingga 119 kes dilaporkan antara tahun 2000 hingga 2006. Kemudiannya peningkatan kes yang mendadak; 117 hingga 338 kes setiap tahun, bagi tempoh yang sama yakni antara tahun 2011 hingga 2017.

Namun begitu, kita harus peka bahawa jumlah kes yang dilaporkan tidak menggambarkan realiti betapa traumatiknya mangsa yang mengalami gangguan atau jenayah seksual ini. Pada tahun 2019, YouGov Omnibus melaporkan dapatan kajian yang mendedah 47 peratus mangsa gangguan seksual tidak melaporkan kepada mana-mana pihak mengenai musibah yang menimpa mereka.

Adalah tidak keterlaluan untuk membuat kiraan mudah bagi menggambarkan keseriusan perkara ini. Maksudnya, sekiranya Statistik Keganasan Terhadap Wanita di Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2018 melalui portal data.gov.my merekodkan jumlah kes gangguan seksual antara 2014 hingga 2018 adalah 1,223 kes. Justeru, dengan mengambil kira hampir separuh mangsa tidak melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti yang dilaporkan oleh YouGov Omnibus. Maka, boleh diunjurkan kes sebenar adalah tidak kurang daripada 2,307 kes.

Itu belum lagi mengambil kira jenayah seksual yang lain seperti rogol dengan jumlah 7,704 kes dan cabul dengan jumlah 6,303 kes, bagi tempoh 2014 hingga 2018. Belum lagi mengambil kira kes jenayah seksual kanak-kanak sebanyak 3,738 kes yang didakwa di mahkamah, seperti yang dilaporkan dalam Dewan Rakyat tahun lalu. Sekiranya boleh ditimbangkan untuk mengambil kira adanya kes yang tidak dilaporkan dan jumlah kes yang tidak dilaporkan itu sebanding dengan kes gangguan seksual, maka hakikatnya jumlah kes sebenar adalah hampir dua kali ganda daripada jumlah kes yang dilaporkan – bukan sahaja melibat wanita, bahkan sebenarnya lelaki juga.

Ya, boleh untuk tidak bersetuju dengan unjuran ini memandangkan ia hanyalah anggaran berdasarkan kepada data umum. Tetapi, adakah itu menjadi alasan untuk menafikan trauma yang alami oleh mangsa jenayah ini? Adakah maruah satu orang tidak perlu dipertahankan hanya kerana kadar jenayahnya tidak tinggi? Tambahan pula, harus diingat bahawa unjuran ini dibentangkan adalah untuk menepis sindiran pihak yang dirujuk pada awal artikel ini.

Pihak yang menyindir bahawa ini merupakan masalah generasi dan bukannya masalah seksual secara substantif. Dengan erti kata lain, seolah-olah akibat rosak generasi, maka rosak jugalah sosiobudayanya. Berdasarkan kepada model analisis di atas, adalah tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan awal bahawa sebenarnya kes melibatkan jenayah seksual ‘dahulu’ adalah tidak kurang parah daripada hari ini.

Jaga kebajikan mangsa, hukum pemangsa

Seperkara yang dibimbangi dalam masyarakat hari ini ialah tumpuan yang diberikan kepada mangsa adalah bertentangan daripada yang sewajarnya. Sepatutnya, keprihatinan diberikan kepada mereka. Dipastikan sebarang bukti yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan dijaga dan disimpan. Laporan kepada pihak polis dibuat serta-merta. Dan sokongan emosi diberikan sepenuh perhatian sepanjang penyiasatan dilakukan. Mangsa di sini tidak secara total merujuk kepada mangsa jenayah seksual, penulis rujuk juga kepada mangsa fitnah jenayah seksual.

Ya, ada kemungkinan tuduhan jenayah seksual yang dibuat adalah tidak benar. Dan harus juga berlaku adil bahawa tuduhan tersebut mungkin benar. Maka dalam hal ini serahkan kepada pihak polis, pendakwaan dan mahkamah untuk memutuskannya. Bagi kerabat dan kenalan mangsa, tumpukan keprihatinan menyokong mangsa sepenuhnya. Begitu jugalah kerabat dan kenalan orang yang dituduh tadi, perlukan kepada sokongan yang sewajarnya. Apapun, yang penting siasatan sudah dimulakan dan kedua-dua pihak tidak mengapi-apikan cerita sebelum mahkamah membuat keputusan.

Akhirnya, yang mustahak ialah pemangsa; penjenayah atau penfitnah, dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan mengikut lunas undang-undang. Di Malaysia ada sekurang-kurangnya 13 peruntukan dalam 3 akta berbeza yang menyentuh berkenaan jenayah seksual. Manakala bagi mangsa fitnah jenayah seksual juga terdapat undang-undang yang melindungi mereka. Dalam apa keadaan sekalipun, diyakini kebijaksanaan hakim-hakim dalam mengadili kes-kes berkenaan mampu menampung kekurangan yang mungkin timbul daripada peruntukan undang-undang sedia ada dalam mengani kes-kes ini. Pokoknya, pemangsa mesti dihukum.

Kesedaran jenayah seksual

Bagi kebanyakan orang, apabila disebut tentang kesedaran jenayah seksual ini, yang difikirkan ialah kesedaran prospek mangsa jenayah terhadap pemangsa. Secara tegas, tanggapan ini adalah tidak betul sama sekali. Ada tiga fasa kesedaran jenayah seksual yang dimaksudkan.

Pertama, ialah prospek mangsa perlu tahu apakah tindakan-tindakan yang termasuk dalam kategori jenayah seksual atau amang seksual. Mesti mahir untuk melepaskan diri daripada situasi dan risiko jenayah seksual. Tambahan pula, mesti fahami prosedur pengendalian jenayah seksual sepenuhnya daripada melaporkan kepada pendakwaan. Dengan pengetahuan ini, boleh mempersiap diri untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila berhadapan dengan situasi didekati atau diserang jenayah seksual ini.

Kedua, ialah prospek pemangsa. Yang dimaksudkan ialah semua orang yang berkemungkinan dituduh sebagai pemangsa jenayah seksual. Justeru, semua orang perlu tahu apakah perkataan, tindakan atau perlakuan yang boleh disabitkan sebagai melakukan jenayah seksual. Lanjutan itu, mestilah dielakkan daripada melakukan perkara-perkara tersebut. Seperti contoh, (1) mengeluarkan kata-kata lucah yang membuatkan seseorang tidak selesa, (2) menyentuh mana-mana bahagian tubuh orang lain tanpa kebenaran secara lisan, atau (3) membuat apa-apa tindakan yang membuatkan seseorang merasakan maruah dirinya dicabul – semuanya terpakai sama ada lelaki melakukannya kepada wanita begitu juga sebaliknya. Kesannya adalah pemangsa tidak boleh lagi beralasan mereka tidak tahu bahawa tindakan mereka itu adalah jenayah dan bagi mangsa fitnah pula boleh mempertahankan diri daripada sebarang tuduhan jenayah seksual tersebut.

Ketiga, pihak ketiga dalam kes jenayah seksual; pengurusan organisasi, rakan-rakan, keluarga, masyarakat awam dan kerajaan. Semuanya perlu membaca dan memahami Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999 yang diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkerjaan Awam yang diterbitkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Kod amalan dan garis panduan ini boleh dimanfaatkan oleh semua pihak; awam dan swasta. Ini adalah bagi memastikan sokongan dan tindakan sewajarnya boleh diberikan kepada mangsa jenayah seksual terbabit.

Ini soal mempertahankan maruah

Penulis boleh menyatakan secara terbuka bahawa ada sesetengah gerakan feminisme yang menuntut layanan kesamarataan gender itu merupakan gerakan yang membawa tuntutan yang sah. Namun, dalam masa yang sama ada juga dari kalangan itu yang sudah melepasi batas ekstrem – ultra-feminisme. Kita tidak bersetuju dengan tuntutan yang mengada-ada, tetapi kita juga perlu jujur bahawa ada hak yang perlu ditegakkan – hak untuk hidup, belajar dan bekerja tanpa rasa takut diperkosa atau dicabul maruah.

Mulai hari ini semua orang mesti peka bahawa jenayah seksual boleh memangsakan mangsa jenayah dan mangsa fitnah jenayah. Seterusnya, kita juga mesti peka bahawa jenayah seksual dan fitnah jenayah seksual ini boleh menamatkan hidup seseorang. Tidak ada kompromi dalam hal mempertahankan maruah keinsanan. Kita semua mesti bertindak. Hidup biar berjasa.

-- BERNAMA

Irfan Faruqi ialah Pengacara program Darah Muda terbitan Bernama TV

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)