SALAM DARI BEIJING

DI SEBALIK PENDEDAHAN ASRI JANGGUT

13/08/2020 07:26 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Syed Azwan Syed Ali

Nampaknya naratif isu rumah perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh yang sebelum ini memihak kepada pemberi maklumat Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mula beralih arah dari positif kepada negatif.

Ia gara-gara kenyataan pengasas Hot Burger Malaysia itu dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook sebuah persatuan pengguna kelmarin, di mana beliau mendakwa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.

Walaupun kenyataan itu ditujukan kepada sebahagian kelompok terbabit, ramai pihak termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, menyifatkannya sebagai keterlaluan.

Memang benar, siapalah Asri untuk menghukum dosa dan pahala seseorang individu, pun begitu kita tidak seharusnya beralih dari isu pokok kepincangan pihak berkuasa di Sungai Buloh yang didedahkan beliau pada Sabtu lalu.

Hakikatnya, jika diteliti, pendedahan video berani mati Asri melalui Facebook Live Hot Burger Malaysia yang setakat ini ditonton 7.1 juta orang selepas disiarkan pada pukul 4.01 petang Sabtu lalu, banyak menyentuh isu berbangkit.

Walaupun ia lahir daripada rasa tidak puas hati Asri, 42, kepada tindakan yang dikatakan sebagai pilih bulu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyita gerai burger anak buahnya, tetapi gagal mengambil tindakan sama ke atas gerai warga asing berbangsa Acheh berdekatan yang menjual rokok seludup.

TIDAK PUAS HATI SIKAP PILIH BULU

Jelas video itu sebenarnya bertitik tolak daripada rasa tidak puas hati beliau kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit yang akhirnya melebar kepada pendedahan premis tidak berlesen, termasuk premis perjudian di kawasan itu.

Turut terpalit dalam pendedahan ini adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh yang didakwa Asri tidak mengambil sebarang tindakan ke atas premis perjudian tidak berlesen atau premis mesin kuda selain dikaitkan dengan isu rasuah.

Ironinya, sebanyak 40 serbuan dan 132 tangkapan dilakukan ke atas premis perjudian di Sungai Buloh sejak bulan lalu.

Persoalannya kenapa Asri sanggup mengambil risiko demikian mendedahkan perkara itu secara terbuka di media sosial melalui Facebook Live di laman Facebook Hot Burger Malaysia yang mempunyai kira-kira 160,000 pengikut itu?

Mengapa Asri tidak menggunakan saluran sedia ada atau beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang pilihan dalam isu kegiatan salah laku anggota penguat kuasa terbabit?

Penulis bukan hendak menuding jari atau mencari pihak yang salah, sebaliknya melihat pengajaran di sebalik pendedahan Asri mengenai premis perjudian dan penjualan rokok seludup yang terus berlaku di negara ini.

PILIHAN SEBAGAI PEMBERI MAKLUMAT

Jika diteliti dari sudut undang-undang, Asri sebenarnya adalah seorang pemberi maklumat.

Beliau sebenarnya mempunyai pilihan untuk mendedahkan perkara itu menggunakan saluran yang ada, seperti yang dituntut ramai pihak selepas videonya tular, atau memilih menggunakan media sosial dengan risiko keselamatan ke atas beliau.

Antara pilihan Asri sebagai warga prihatin adalah dengan menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui “Volunteer Smartphone Patrol” (VSP). (Penulis hanya sedar tentang VSP selepas isu pendedahan Asri)

VSP adalah sistem aplikasi yang membolehkan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan mengenai kegiatan jenayah (ragut, dadah, jenayah, lumba haram, penyeludupan dan sebagainya) yang meliputi gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian kepada pihak polis.

Pendaftaran ahli VSP hanya memerlukan nama samaran pengguna, nombor telefon dan negeri terbabit. Setakat 9 April tahun lalu, keahlian VSP di seluruh negara adalah seramai 649,734 orang.

Bagaimanapun, laporan media pada tarikh sama menunjukkan hanya 2.5 peratus jumlah penyaluran maklumat direkodkan daripada keseluruhan ahli VSP.

Peratusan kecil penyaluran maklumat ini seharusnya diteliti dan dikaji pihak terbabit khususnya tentang keyakinan masyarakat dalam penyaluran maklumat atau aduan kepada pihak berkuasa terbabit.

DAKWAAN ADUAN DIBOCORKAN

Jika diteliti video yang tular pada Sabtu lalu (ada tiga video kesemuanya), Asri mendakwa beliau telah membuat aduan kepada Bukit Aman susulan aktiviti premis perjudian “mesin kuda” yang gagal mematuhi arahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan beberapa bulan lalu.

Asri mendakwa premis judi haram itu beroperasi melebihi waktu dibenarkan ketika premis lain, termasuk gerai burger mematuhi peraturan PKP.

Memang benar tindakan telah diambil di mana premis perjudian terbabit ditutup selama dua hari, namun dakwaan Asri mengenai insiden susulan yang berlaku selepas itu amat membimbangkan.

Asri mendakwa tokey premis judi di Bandar Baru Sungai Buloh tahu bahawa beliau membuat aduan itu selepas pihak terbabit bertanyakan kepada anak buahnya kenapa beliau membuat aduan mengenai premis perjudian di kawasan itu.

Ini bermakna ada pihak yang membocorkan mengenai dirinya selaku pemberi maklumat kepada pihak berkuasa.

Dakwaan Asri ini, jika benar, seharusnya diambil serius oleh pihak berkuasa kerana ia bertitik tolak daripada isu membarah yang sukar dikekang di mana-mana negara pun iaitu isu rasuah.

Namun apa yang menjadi ralat kepada penulis adalah Asri tidak memilih jalan kedua untuk melaporkan perbuatan salah laku anggota penguat kuasa yang didakwanya itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PEMBERI MAKLUMAT DILINDUNGI DI BAWAH APPM 2010

Sebenarnya di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (APPM) 2010 (Akta 711), seseorang pemberi maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain akan diberi perlindungan daripada sebarang tindakan memudaratkannya akibat pendedahan dibuat.

Bagaimanapun, pemberi maklumat seharusnya mematuhi tiga syarat iaitu pemberi maklumat bersedia dikenali SPRM, kedua; hadir sendiri dan berjumpa pegawai SPRM dan ketiga; jika pendedahan dibuat melalui kaedah lain seperti surat, emel, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas, pemberi maklumat perlu menyatakan identiti dan alamat atau cara bagaimana beliau boleh dihubungi.

Di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta APPM 2010, identiti pemberi maklumat serta maklumat diberikan adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapapun termasuk semasa perbicaraan di mahkamah.

Pemberi maklumat juga tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat daripada pendedahan itu mengikut Seksyen 7(1)(b) Akta APPM 2010.

Di bawah Seksyen 7(1) (c) Akta APPM 2010 pula pemberi maklumat dilindungi daripada sebarang tindakan yang memudaratkan hasil tindakan balas pendedahan yang telah dibuat dan perlindungan turut diberikan kepada mereka yang mempunyai kaitan atau hubungan dengan pemberi maklumat (Seksyen 7 (3) Akta APMM 2020).

KALAU TIDAK PERCAYA SPRM, SIAPA LAGI

“Masyarakat kena lapor kepada SPRM, kena jadi mata telinga SPRM. Kalau tidak percaya SPRM, siapa lagi,” kata penganalisis jenayah Datuk Seri Akhbar Satar menegaskan kredibiliti badan itu dalam menjalankan tugas tidak seharusnya diragui.

Susulan pendedahan Asri pada Sabtu lalu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan itu yang turut mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Hasilnya, SPRM bertindak menahan empat anggota penguatkuasa MBSA yang direman selama tujuh hari bermula semalam bagi siasatan kes menerima dan mengutip rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan bagi melindungi premis haram di Sungai Buloh.

Turut direman adalah peniaga rokok seludup berbangsa Acheh kerana disyaki membayar rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguatkuasa. Kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Apa yang pasti, pendedahan Asri telah menggegarkan Malaysia dan menarik perhatian pihak atasan termasuk Menteri Dalam Negeri, sekalipun jalan tular dipilihnya (selaku pemberi maklumat) amat berbahaya.

Apa yang lebih penting adalah sejauh mana pendedahan Asri mengubah “rahsia terbuka” mengenai sikap pilih bulu dan “pengkhianatan” anggota penguatkuasa yang tidak amanah kepada penjaja dan peniaga kecil, berbanding tokey yang berpoket tebal.

-- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan liputan zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis dalam isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)