KOLUMNIS BERNAMA
10/08/2020 04:37 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Kalau tidak kerana insiden letupan yang mengorbankan 137 nyawa dan mencederakan lebih 5,000 mangsa di Beirut, Lubnan, Selasa lalu, rasanya perhatian kita tidak akan tertumpu kepada situasi di Asia Barat.

Tentunya kita masih bercakap soal “makcik gelang pink”, kluster Sivagangga, kes berprofil tinggi di mahkamah, karenah canggung ahli Parlimen di Dewan Rakyat atau kesan impak COVID-19 yang menguji sebahagian besar kehidupan warga marhaen di Malaysia.

Hakikatnya, situasi di Asia Barat, termasuk di wilayah konflik seperti Palestin, Syria, Iraq dan Yaman dalam keadaan menekan dan kedatangan mengejut pandemik COVID-19 yang setakat ini menjangkiti lebih 19 juta populasi dunia dengan lebih 717,000 maut, memburukkan keadaan.

Di Lubnan, sebanyak 5,417 kes COVID-19 direkodkan dengan 68 maut, manakala di Yaman yang menjadi isu tumpuan artikel ini, seramai 1,767 positif wabak itu dengan 509 kes maut direkodkan setakat semalam.

Angka di Yaman itu, jika dihitung secara mudah menggambarkan 29 peratus daripada individu dijangkiti COVID-19 telah maut di negara Arab termiskin itu.

Kadar kematian ini amat jauh jika dibandingkan dengan data COVID-19 di Malaysia di mana hanya 125 kes maut (1.3 peratus) daripada 9,038 kes yang dicatatkan di negara kita.

Pun begitu sedar atau tidak, Kementerian Kesihatan pada Selasa lalu mengesahkan bahawa Malaysia secara tidak langsung telah “mengimport” kes COVID-19 daripada wilayah bergolak itu.

Ini kerana 12 daripada 148 warga Malaysia yang sebelum ini terkandas di Yaman tetapi selamat diterbangkan pulang ke Malaysia melalui Kaherah (Mesir) selepas keluar dari Seiyoun (Hadhramaut, Yaman) pada awal minggu ini, telah disahkan positif di pusat kuarantin.

Hakikatnya, kesemua 148 warga kita ini bukan hanya lari dari ancaman COVID-19, sebaliknya mereka juga lari konflik perang saudara yang membelenggu dan semakin membarah di Yaman.

ISU DI YAMAN

Selaku individu yang pernah memasuki Yaman selama dua minggu hujung tahun lalu ketika membuat liputan berita untuk TV AlHijrah, penulis menyaksikan sendiri bagaimana situasi negara Arab termiskin dengan 27.5 juta populasi itu semakin tertekan dengan tiga perkara.

Pertama: Yaman diancam dengan perang saudara yang memecahkan negara itu kepada dua bahagian antara wilayah utara yang diketuai pemberontak Houthi dan wilayah selatan yang dikuasai pakatan tentera dikuasai Arab Saudi yang pro presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Bayangkan, bagaimana agaknya keadaan politik dan ekonomi di negara yang mempunyai dua pusat kuasa, malah mereka menggunakan dua nota wang yang berbeza di wilayah selatan dan utara.

Benar, mereka mempunyai wang Yemeni Riyal yang berbeza di dua wilayah itu sejak tahun lalu.

Berdasarkan pengalaman penulis dan untuk makluman semua, wang Yemeni Riyal yang dicetak di bank di wilayah selatan tidak laku di Sana’a yang dikuasai puak Houthi.

Kedua: Yaman berdepan dengan masalah kebuluran berpanjangan dengan laporan media menyatakan sebanyak 24 juta atau 80 peratus populasi Yaman bergantung kepada bantuan asing untuk hidup. (Situasi ini hampir sama dengan situasi warga Palestin di wilayah terkepung Gaza)

Daripada jumlah itu, dua juta kanak-kanak dilaporkan berada dalam kondisi malnutrisi akut.

Jadi apa itu malnutrisi akut? Mudahnya kanak-kanak yang mengalami malnutrisi akut itu adalah kanak-kanak kurus kering yang nampak tulangnya dengan perut buncit yang sering dipaparkan media antarabangsa dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meraih perhatian dunia.

Ketiga: sebelum kehadiran COVID-19 di Yaman pada April lalu, Yaman sebenarnya berdepan dengan penularan kes taun, denggi dan malaria yang mengancam jutaan nyawa rakyat negara itu. (Kes penyakit ini berkait dengan faktor bekalan air bersih dan keperluan sanitasi)

MASALAH BANTUAN KEMANUSIAAN

Apa yang lebih menyedihkan adalah apabila media melaporkan majoriti daripada 3,500 fasiliti perubatan yang ada di Yaman telah rosak dan musnah akibat pengeboman udara dengan hanya separuh daripadanya berfungsi.

Lebih menyulitkan, peperangan antara pihak bertelagah telah menyebabkan penghantaran makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan di Yaman terhalang pada kadar kritikal.

Situasi peperangan itu, menurut ciapan Twitter Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada 6 Julai lalu, juga menyebabkan kenaikan harga makanan sehingga 60 peratus lebih mahal.

“Dua pertiga daripada populasi (Yaman) hampir tiada apa-apa makanan. Itu bersamaan 20 juta orang,” kata ICRC.

Kenaikan harga itu, secara logiknya turut menyebabkan kenaikan harga kos ubat-ubatan yang semakin terhad.

Sebagai perbandingan, Yaman hanya mempunyai ratusan ventilator (mengikut laporan media tanpa menyatukan jumlah tepat mesin perubatan kritikal itu) dengan hanya separuh fasiliti perubatannya berfungsi untuk keperluan 27.5 juta rakyatnya.

Cuba bandingkan dengan situasi di Malaysia yang mempunyai sekurangnya-kurangnya 1,000 ventilator (mesin pernafasan) di hospital awam, tenaga perubatan mencukupi yang dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) dan angka ini tidak termasuk dengan tenaga kerja dan kelengkapan perubatan di sektor swasta.

Apa yang penulis cuba sampaikan di sini adalah perhatian kita di Malaysia kepada Asia Barat, khususnya di Yaman, tidak seharusnya bersifat sementara hanya kerana adanya insiden letupan di Lubnan yang dimainkan media antarabangsa sejak beberapa hari lalu.

YAMAN DILUPAKAN ?

Ini kerana negara-negara konflik di Asia Barat, khususnya di Yaman, seolah-olah dilupakan masyarakat dunia sekalipun disifatkan sebagai krisis kemanusiaan terburuk dalam abad ini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Situasi di Yaman amat mencabar dengan penyelesaian politik sukar dilakukan antara pihak bertelagah.

“Situasi kemanusiaan juga amat kritikal dengan kurangnya bantuan akibat COVID-19 untuk badan-badan kemanusiaan di Yaman,” kata Tomna Obaid dari Field Medical Fundation (FMF) yang berpusat di Aden (Selatan Yaman).

Menjelas lanjut kepada penulis, Tomna berkata tumpuan di Yaman ketika ini adalah ancaman COVID-19.

“Malangnya kebanyakan sokongan (dana atau bantuan asing) kepada fasiliti perubatan di Yaman telah digantung,” katanya menjelaskan kekangan itu termasuk bantuan kepada program sokongan reproduktif, penjagaan kesihatan primer dan program nutrisi.

FMF adalah rakan NGO strategik Mercy Malaysia di Yaman yang sebelum ini menjalankan program kemanusiaan, termasuk program makanan, bantuan nutrisi untuk kanak-kanak dan projek bekalan air bersih antaranya di kem pelarian dalaman (IDP) Usman Affan di Aden.

Bagaimanapun, difahamkan Mercy Malaysia menangguhkan sementara beberapa program kemanusiaannya di Yaman akibat kekurangan dana dan masalah akses selain menukar strategi programnya yang menumpukan kepada impak COVID-19.

KEUTAMAAN DI YAMAN

Perang saudara di Yaman meletus selepas puak Houthi mengambil alih kuasa di ibu negara Yaman, Sana’a pada hujung 2014 sebelum tentera pakatan diketuai Arab Saudi bertindak campur tangan pada 2015 melalui serangan udara untuk mengembalikan kuasa kepada Hadi.

Ironinya, ketika pakatan tentera diketuai Arab Saudi memulakan serangan udara ke atas Yaman pada Mac 2015, penulis ketika itu berada di Kuwait City bagi membuat liputan persidangan antarabangsa anjuran Emir Kuwait dan PBB untuk mengumpulkan dana bagi membantu pelarian Syria.

Arab Saudi, antara pengeluar utama minyak dunia, ketika itu antara penyumbang dana bagi membantu konflik di Syria yang berpanjangan sejak 2011.

Hakikatnya, majoriti warga Yaman memang hidup di bawah paras kemiskinan tegar US$1 dolar sehari dan konflik antara Houthi dan pakatan tentera diketuai Arab Saudi sejak lima tahun lalu menyukarkan lagi kehidupan mereka.

Lebih menyulitkan keadaan apabila konflik pemisahan di wilayah selatan menyaksikan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kini berperang dengan tentera pro Hadi di selatan, menjadikan negara itu secara mudahnya berpecah kepada tiga wilayah kuasa.

“Sejak dari raya haji tahun lepas lagi, pergerakan agak terhad sebab pertempuran di wilayah utara dan selatan,” kata Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman merujuk kepada pertempuran antara tentera pakatan diketuai Arab Saudi dan pemisah selatan selain pertempuran dengan Houthi.

MRA antara NGO Malaysia yang menghulurkan bantuan kepada pelarian dalaman di Yaman sejak 2015 secara konsisten selain melaksanakan program bermusim seperti bantuan bulan Ramadan, Aidiladha dan musim sejuk.

KONFLIK SEMAKIN PARAH

Sepertimana ditegaskan Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock, gencatan senjata menyeluruh perlu dilaksanakan pada kadar segera di Yaman atau operasi kemanusiaan di wilayah konflik itu akan runtuh. Jutaan warga Yaman akan menjadi mangsa!

“Tanpa dana tambahan, kita akan ada lebih banyak kes kelaparan, malnutrisi, taun, COVID-19 dan lebih daripada itu, kematian,” kata Mark Lowcock dipetik UN News.

Setakat ini, situasi di Yaman membuktikan kegagalan rundingan damai di Geneva, Biel dan Kuwait.

Nampaknya rundingan damai di Riyadh pada November 2019 juga belum menunjukkan sebarang hasil ketika pihak kerajaan terus bertegas supaya Houthi meletak senjata sebelum berkongsi kuasa, tetapi pemberontak hanya bersedia berunding mengenai perkongsian kuasa dahulu sebelum berundur dari bandar yang dikuasai.

Apa yang pasti, tumpuan kita terhadap konflik di Asia Barat tidak seharusnya ditentukan laporan media antarabangsa yang disahut media di Malaysia kerana hakikatnya, negara konflik seperti Yaman, semakin parah.

Sekurang-kurangnya ada lima NGO Malaysia yang terus membantu Yaman iaitu MRA, Mercy Malaysia, Al I’tisam Relief, Al Ain Malaysia dan Global Peace Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan rakyat Malaysia.

Memang kita tidak mampu menghentikan peperangan di Yaman, tetapi kita boleh memastikan lebih 20 juta rakyat negara itu mempunyai makanan di atas meja setiap hari walaupun peperangan masih belum tamat.

Akhir kalam, konflik di Yaman telah mengorbankan lebih 100,000 rakyatnya dengan laporan media menyatakan setiap 10 minit berlalu di Yaman, ada seorang kanak-kanak maut di negara itu kerana kebuluran dan penyakit.

-- BERNAMA

Penulis adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan liputan di zon konflik dan bencana, termasuk di Asia Barat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan