TINTA MINDA
29/07/2020 09:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Irwan Syah Md Yusof

Kejayaan Malaysia membangunkan projek kereta nasional melalui penubuhan Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua), telah memacu Malaysia menjadi negara industri automotif yang kompetitif di pasaran tempatan dan global.

Berdasar kepada laporan ekonomi pada 2011, kuasa untuk membeli kereta terus meningkat pada nisbah pemilikan kereta 1:5 penduduk Malaysia. Peningkatan permintaan ini mendorong pengeluar kereta daripada pelbagai jenama untuk bersaing dan berusaha bersungguh-sungguh membangunkan kenderaan yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, keselesaan selain mesra pengguna dengan mengambil kira keupayaan dan kebatasan pengguna itu sendiri.

Risiko pemanduan jarak jauh

Namun, walaupun memiliki kenderaan yang canggih dengan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan yang optima, ramai pemilik kenderaan atau pemandu tidak mengambil berat soal cara pemanduan mereka, terutamanya ketika membuat perjalanan jarak jauh.

Ramai sebenarnya tidak sedar bahawa pemanduan yang memerlukan masa yang panjang boleh mendatangkan kesan negatif, termasuk mengundang masalah kesihatan yang berlaku secara kumulatif dalam jangka waktu yang panjang akibat daripada tingkah laku pemanduan itu sendiri.

Terdapat banyak kajian dari dalam dan luar negara yang membuktikan bahawa aktiviti pemanduan jarak jauh antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kemalangan maut sekiranya tidak mengamalkan teknik yang betul.

Postur tubuh

Berdasar kajian yang saya sendiri lakukan pada 2019 berkaitan sakit belakang dalam kalangan pemandu teksi warga tua di Malaysia antara lain mendapati pemanduan dalam jarak jauh secara monoton menghasilkan persekitaran yang membosankan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan posisi postur pemanduan dalam keadaan statik yang lama. Selain itu, teknik postur pemanduan yang janggal ketika memandu turut penyumbang kepada masalah kesihatan.

Postur janggal yang dimaksudkan adalah apabila kedudukan postur pemandu dengan penyandar tempat duduk kenderaan tidak menyokong atau tidak berada pada kedudukan sepatutnya dan akhirnya akan menghasilkan ketidakselesaan pada anggota tubuh.

Melalui kajian yang dilakukan, masalah kesihatan yang sering dialami dalam kalangan pemandu adalah sakit pada bahagian belakang anggota badan, anggota leher dan tangan. Antara simptom awal gangguan kesihatan akibat pemanduan dapat dikesan seperti merasa letih pada anggota otot, megantuk ketika memandu, mengalami sakit kepala dan mudah merasa hilang fokus ketika memandu.

Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk menangani atau meminimumkan masalah kesihatan daripada berlaku dan meningkatkan keselamatan ketika aktiviti pemanduan dalam jarak yang jauh, khususnya ketika pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidiladha ini.

Tips pemanduan

1. Perbaiki postur badan apabila memandu

Kedudukan postur pemandu pada keadaan selesa iaitu keseluruhan anggota tubuh badan disokong oleh penyandar tempat duduk. Gunakan kusyen tambahan bagi menyokong bahagian anggota badan sekiranya terdapat ruang yang tidak disokong dan letakkan kusyen pada bahagian pinggul tempat duduk untuk mengurangkan getaran ketika pemanduan.

Pastikan kedudukan tangan pada stereng kenderaan tidak tergantung. Selaraskan stereng mengikut keselesaan tangan agar anggota tangan disokong oleh bahagian peha kaki.

Manakala anggota leher disokong sepenuhnya oleh penyandar tempat duduk belakang. Elakkan anggota leher daripada membengkok ke hadapan dalam jangka waktu yang lama.

2. Tempat duduk pemandu

Laraskan kedudukan tempat duduk pemandu mengikut keselesaan pemandu sebelum memulakan perjalanan. Darjah kecondongan penyandar tempat duduk pemandu adalah antara 90-110 darjah kebelakang.

Bahagian peha kaki pada kedudukan mendatar dan lutut disokong pada bucu kusyen tempat duduk kenderaan sepenuhnya.

3. Sebelum dan ketika pemanduan

Dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya sebelum melakukan perjalanan serta pastikan segala keperluan telah disediakan lebih awal. Lakukan pemeriksaan kenderaan lebih awal bagi memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Ketika memandu lakukan pergerakan kecil anggota badan untuk setiap 10 minit bagi membantu kelancaran darah dan meregangkan otot serta mengelakkan kekejangan otot pada posisi statik yang lama.

Sekiranya merasa letih atau mengantuk ketika memandu, lakukan pertukaran pemandu sekiranya terdapat orang lain boleh memandu atau berhenti rehat di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Amalkan rehat sekurang-kurangnya dua kali untuk setiap 100KM perjalanan di kawasan R&R yang disediakan. Keluar daripada kenderaan dan lakukan pergerakan regangan otot ikut kemampuan diri.

Waktu yang ideal untuk memulakan pemanduan yang memerlukan jarak yang jauh adalah di awal pagi kerana waktu itu anggota badan dan otak telah bersedia untuk bekerja dengan baik. Adalah tidak digalakkan melakukan perjalanan di waktu tengah malam kerana secara semulajadinya waktu malam dijadikan untuk anggota badan dan otak berehat.

Oleh yang demikian, dengan menerapkan tiga langkah mudah ini sebelum dan semasa melakukan pemanduan yang memerlukan jarak yang jauh akan dapat membantu pemandu meminimumkan masalah kesihatan dan dapat meningkatkan kualiti hidup serta keselamatan.

Secara tuntasnya, amalan ini secara tidak langsung mampu mengurangkan berlakunya kemalangan yang boleh membawa maut. Akhirnya melalui pendekatan ini dapat mendidik pengguna menjadi rakyat yang lebih bertangungjawab terhadap masyarakat ketika di atas jalan raya dan negara secara amnya.

-- BERNAMA

Dr. Irwan Syah Md Yusoff merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar dalam bidang ergonomik.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan