NOTA KAMPUS

KE ARAH KELESTARIAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI UITM

20/07/2020 06:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Marfiah Ab Wahid

Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada tahun 1999. UiTM sentiasa menumpukan kepada kecemerlangan akademik, inovasi, sosial, pengiktirafan antarabangsa, global dan teknologi baharu yang menyumbang kepada pembangunan industri dan negara. Dalam tempoh 21 tahun ini, pelbagai pencapaian telah dikecapi sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antar kejayaan yang telah dicapai ialah tersenarai menduduki tangga ke-183 daripada 780 institusi dunia dan termasuk sepuluh yang terbaik di Malaysia dalam penarafan UI-Greenmetric (UIGM) University Ranking 2019.

Penarafan UIGM ini dinilai melalui initiatif-initiatif yang telah dilaksanakan di dalam kampus berdasarkan enam kategori iaitu kawasan dan infrastruktur hijau (15 peratus), penggunaan dan penjimatan tenaga (21 peratus), pengurusan sisa pepejal (18 peratus), penggunaan dan penjimatan air (10 peratus), sistem pengangkutan yang lestari (18 peratus) serta pendidikan dan penyelidikan yang bermatlamatkan kelestarian (18 peratus). Kesemua kategori ini mempunyai indikator penilaian masing-masing yang perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan bagi mencapai matlamat kelestarian sebuah kampus.

Pengurusan sisa pepejal

Pengurusan sisa pepejal adalah perkara yang menjadi antara keutamaan di dalam kampus UiTM. Indikator-indikator yang diambil kira untuk kategori ini adalah termasuk bilangan program yang telah dilaksanakan bagi menyokong kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik dan kertas, menyediakan rawatan sisa organik dan bukan organik, pengurusan sisa toksik dan menyediakan rawatan untuk air sisa dan sisa bio (enapcemar). Tujuan utamanya ialah untuk mengurang pencemaran dari penghasilan gas rumah hijau yang akan terhasil dari jumlah sisa pepejal yang perlu dihantar ke tapak pelupusan.

Bilangan warga kampus yang tinggi adalah antara penyumbang kepada peningkatan penjanaan sisa pepejal di dalam kampus. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun seperti majlis konvokesyen, sukan, seminar, pameran, mesyuarat serta pelbagai lagi aktiviti ilmiah dan sosial yang turut melibatkan tetamu dari luar juga menjadi punca kepada penjanaan sisa pepejal yang banyak di dalam kampus. Penggunaan plastik sekali guna dan kertas adalah yang tertinggi ditemui di kampus UiTM selain sisa makanan. Gaya hidup dan sikap warga kampus didapati amat memberi kesan kepada perkara-perkara tersebut. Sesuai dengan norma baharu selepas episod COVID-19, warga kampus perlu menggayakan budaya hidup baharu yang lebih lestari sama ada dalam pengurusan universiti, aktiviti kokurikulum, aktiviti sosial dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Fokus ke arah kelestarian pengurusan sisa pepejal telah diambil kira dalam pelan strategik universiti. Pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan dan sistematik telah menjadi satu daripada keberhasilan yang perlu diukur oleh pihak pengurusan universiti. Menyedari hakikat ini, usaha daripada semua warga kampus perlu digemblengkan agar matlamat pengurusan sisa pepejal yang lestari dapat dibangunkan di UiTM dan menjadi budaya dalam kalangan warga kampus.

Kempen kesedaran

Pelbagai pendekatan telah diusahakan setakat ini termasuklah kempen kesedaran tentang kitar semula, kempen hindari plastik sekali guna, membangunkan sistem dalam talian bagi urusan pejabat serta pengajaran dan pembelajaran, membangunkan kajian berinovasi bagi rawatan sisa organik seperti sistem kompos, kaedah penguraian anaerobik dan rawatan sisa bukan organik, memperkemaskan pengurusan sisa toksik serta menjalankan penyelidikan berkaitan kaedah rawatan termaju seperti UV dan penapis membran untuk air sisa dan vermi kompos untuk sisa bio dengan tujuan diguna semula. Semua usaha ini melibatkan warga kampus dalam kalangan kakitangan akademik, pejabat dan juga sumbangan daripada aktiviti yang dipimpin oleh para pelajar.

Sesungguhnya setiap usaha ke arah melestarikan pengurusan sisa pepejal di sesebuah universiti perlu disokong sepenuhnya dengan polisi yang baik dan berkesan. Ia juga perlu mengambil kira semua pemegang taruh yang terlibat dengan UiTM. Pengumpulan data dan maklumat yang terperinci akan membantu menghasilkan polisi yang boleh diguna pakai oleh semua. Ia akan menjadi dasar dan garis panduan untuk mencapai objektif dan pelan strategi. Dalam hal ini, UiTM dalam usaha menghasilkan polisi pengurusan sisa pepejal sendiri yang sesuai untuk semua kampus.

Bagi memastikan kajian-kajian lebih praktikal bukan sahaja untuk kegunaan di dalam kampus, bahkan juga dapat dimanfaat oleh dunia luar, UiTM turut berkolaborasi dengan agensi yang berkaitan dan juga pihak industri. Ia bagi menwujudkan sinergi antara pihak universiti, kerajaan dan industri dalam pembangunan teknologi dan inovasi penyelidikan. Antara rakan kolaborasi UiTM ialah SWCorp Malaysia, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Worldwide Holdings Bhd (WHB) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Selaras dengan objektif UiTM yang ingin berperanan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat, dengan kolaborasi ini adalah diharapkan dapat menjadikan UiTM antara pusat rujukan utama untuk teknologi rawatan sisa pepejal di Malaysia.

-- BERNAMA

Dr Marfiah Ab.Wahid ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)