TINTA MINDA

RANCANGLAH HIDUP UNTUK BERSAMA AL-QURAN

14/07/2020 10:23 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad

Kita telah melewati bulan Ramadan. Bulan di mana al-Quran diturunkan. Bulan yang mana digazetkan sebagai bulan yang penuh barakah. Pada bulan Ramadan, semangat kita terhadap al-Quran dari sudut bacaan dan tadabbur isinya melonjak dari bulan-bulan selainnya. Semuanya kerana rahmat Ilahi dan dorongan sabdaan Nabi.

Sewajibnya, semangat dan fenomena sebegini dilanjutkan juga pada bulan-bulan yang lain. Hal ini adalah kerana kitab suci al-Quran adalah kitab hidayah yang menjadi pertunjuk kehidupan manusia sepanjang masa.

Oleh sebab itu, adalah mustahak untuk kita merancang supaya al-Quran dekat dengan jiwa kita setiap hari. Persoalannya, bagaimana?

Santuni al-Quran

Jadikanlah bacaan al-Quran sebagai rutin harian. Sasarkan satu muka surat sehari membaca dan mentadabburkan isi kandungannya. Elok sekiranya ada mempunyai borang rasmi sebagai rekod bahawa anda telah selesai dan berjaya mencapai sasaran.

Jika anda mampu menghafal al-Quran, ia terlebih baik. Penghafaz al-Quran pastinya akan sentiasa berdampingan dengannya kerana proses pengulangan perlu dilakukan dengan lebih kerap secara harian.

Bacalah al-Quran dengan niat untuk mengamalkan isi ajarannya. Khususnya dalam meningkat iman dan amal. Ingatlah bahawa Nabi Muhamad SAW digelarkan sebagai al-Quran bergerak. Dalam erti kata lain, baginda Nabi SAW tidak hanya membaca dan mengalunkan al-Quran, tetapi baginda turut menghidupkan apa yang terkandung di dalamnya.

Keikhlasan niat kita terhadap al-Quran untuk mendampinginya pasti membuahkan kemanisan dan keseronokan. Bila sudah seronok dengannya, pasti anda tidak meninggalkannya. Apatah lagi satu hari nanti, al-Quran pula yang tidak akan meninggalkan anda di alam barzakh dan alam akhirat, sebaliknya akan memberi syafaat dan pertolongan kepada anda.

Jadikan perkara ini sebagai motivasi dalaman dalam diri kita untuk sentiasa bersama al-Quran sepanjang masa dan ketika sama ada di rumah, di pejabat, dalam kereta dan sebagainya.

Kongsi ilmu kalamullah

Rancanglah juga untuk berkongsi ayat al-Quran dan tafsirannya dalam bentuk penulisan dan infografik dalam media sosial. Ini adalah satu usaha untuk sama-sama kita beroleh manfaat daripada isi al-Quran secara bersama.

Malah ia menepati ajaran Islam melalui sabdaan Nabi yang menyatakan sebaik-baik antara kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Di samping itu juga berusahalah untuk mendapatkan manisnya kalam Ilahi dalam sanubari kita. Berdoalah sentiasa dengan doa yang bermaksud seperti berikut:

"Ya Allah, rahmatilah aku dengan al-Quran yang agung, jadikanlah ia bagiku cahaya petunjuk rahmat. Ya Allah, ingatkanlah apa yang telah aku lupa dan ajarkan kepadaku apa yang tidak aku ketahui darinya, anugerahkanlah padaku kesempatan membacanya pada sebahagian malam dan siang, jadikanlah ia hujah yang kuat bagiku, wahai Tuhan seru sekalian alam."

Mudah-mudahan perhatian kita turut sama pada al-Quran pada bulan-bulan selepas Ramadan. Barulah sebenarnya, madrasah Ramadan memberi kesan dalam aspek sikap kita terhadap al-Quran itu sendiri.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Mohd Nizam Sahad merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)