KETAMADUNAN
08/07/2020 08:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Chahaya Abdul Manan

Iqra’ atau bacalah. Dalam al-Quran terdapat perkataan Iqra’ dan daripadanya kita tahu kepentingan membaca dalam kehidupan seharian.

Berdasarkan perangkaan Bank Dunia, kadar celik huruf penduduk Malaysia pada 2018 melibatkan golongan berusia 15 tahun ke atas adalah 94.85 peratus.

Menurut kajian Central Connecticut State University, Amerika Syarikat mengenai negara paling celik huruf dunia pada 2016, Malaysia berada pada kedudukan ke-53 berbanding Singapura di tempat ke-36 manakala negara Nordic (Finland, Norway, Iceland, Denmark dan Sweden) sebagai negara paling celik huruf dunia.

Kempen membaca

Menyedari negara masih ketinggalan dalam ranking dunia itu, Kementerian Pendidikan melancarkan Kempen Dekad Membaca Malaysia dengan menyasarkan Malaysia sebagai negara membaca pada 2030.

Kempen yang dilancarkan pada tahun lalu itu bertujuan menarik masyarakat menjadikan membaca satu hobi sambil menimba ilmu.

Namun, baru beberapa ketika pelancaran kempen yang bertepatan dengan pemilihan Malaysia sebagai Kota Buku Dunia, wabak COVID-19 melanda dunia. Pandemik yang mengancam nyawa ini membuatkan semua kegiatan manusia terhenti seketika.

Perintah kawalan pergerakan

Pada 18 Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan sektor pendidikan peringkat universiti, sekolah menengah, rendah hingga prasekolah diarah tutup sementara.

Bagi pendidikan awal kanak-kanak, Mac adalah terlalu awal untuk kanak-kanak menguasai pelbagai ilmu akademik khususnya kemahiran membaca.

Tempoh tiga bulan pertama di tadika adalah peringkat penyesuaian diri. Baru hendak berkenalan dan rasa seronok ke tadika, tiba-tiba semuanya terhenti dalam sekelip mata.

Dalam tempoh dua bulan setengah sesi persekolahan 2020, rata-rata murid di tadika swasta atau kerajaan baru mula berjinak-jinak dengan nama abjad. Lazimnya, dalam fasa ini, murid diperkenalkan dengan bentuk bunyi, nyanyian atau menghafal huruf.

Contohnya, pengenalan huruf vokal a, e, i, o, u sahaja mengambil masa dua hingga tiga minggu bagi murid normal menguasainya, lebih lama lagi jika melibatkan kanak-kanak yang memiliki ciri-ciri anak istimewa seperti ‘mild autisme’. Bagaimana masa depan anak-anak ini?

Kadar celik huruf

Kita sedia maklum bahawa kadar celik huruf di Malaysia masih rendah. Kita boleh lihat penguasaan membaca dalam kalangan murid sekolah juga masih rendah.

Di Kuantan pada 2018 misalnya, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Mohd Razali Mustaffar mendedahkan sebanyak 44 peratus atau 3,677 daripada 8,256 murid tahun satu di daerah itu tidak mengenal huruf dan tidak tahu membaca.

Bayangkan, ini baru murid tahun satu, bagaimana pula pelajar tahun dua dan seterusnya? Lebih membimbangkan, ia baru melibatkan satu bandar, bagaimana pula dengan daerah-daerah yang lain terutama di kawasan luar bandar?

Penguasaan kemahiran membaca

Selaku Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM) dan aktivis, saya menitikberatkan penguasaan kemahiran membaca pada usia seawal mungkin. Membaca adalah jambatan untuk menimba pelbagai ilmu.

Kanak-kanak yang boleh membaca pada peringkat awal akan menjadi lebih matang dan mudah berkomunikasi.

Bagi mengenal pasti masalah membaca dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, PPMM telah mengadakan Klinik Membaca Percuma membabitkan 1,373 responden kanak-kanak dan remaja termasuk anak-anak istimewa di lima negeri di Semenanjung Malaysia antara Julai hingga Disember 2019.

Berdasarkan kajian itu, Selangor mendahului senarai murid mempunyai masalah membaca paling tinggi iaitu 810 peserta diikuti Johor (450), Pulau Pinang (50), Kelantan (33) dan Wilayah Persekutuan (30).

Bagaimanapun, data yang diperoleh daripada Klinik Membaca Percuma PPMM tidak menggambarkan senario keseluruhan kadar buta huruf dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di lima negeri tersebut.

Sebaliknya, faktor banyak murid bermasalah membaca di Selangor hadir ke klinik itu dilihat sebagai tahap kesedaran ibu bapa yang tinggi dalam usaha memastikan anak-anak mereka mendapat bantuan untuk menguasai kemahiran membaca.

Selain itu, tumpuan kajian di Selangor dan Johor juga menjadikan lebih banyak responden yang diterima di kedua-dua negeri tersebut.

Klinik Membaca Percuma PPMM bagi zon Sabah akan diadakan di Kota Kinabalu dan Putatan selepas berakhir PKP nanti.

Apa yang ingin disorot oleh PPMM di sini adalah kadar murid yang bermasalah di negara ini masih tinggi di bandar besar dan kecil.

Kajian PPMM mendapati ada ibu bapa yang tidak tahu bahawa anak-anak belum menguasai kemahiran membaca kerana selama ini mereka membaca buku secara menghafal semata-mata.

Kanak-kanak ini cepat menghafal dan mereka boleh menghafal setiap suku kata, perkataan atau ayat pada buku yang dipelajari di tadika. Masalah ini hanya dikenal pasti apabila ibu bapa mendapati anak-anak masih belum lancar membaca walaupun sudah bersekolah rendah.

Mengenal huruf

Ada kanak-kanak yang boleh mengenal huruf A hingga Z dengan mudah terutama melalui nyanyian. Namun, apabila ditunjukkan satu persatu huruf secara rawak, mereka tidak kenal huruf-huruf tersebut.

Menyanyikan nama abjad atau membunyikan setiap abjad adalah kaedah yang mudah untuk diajar kepada murid dan cukup popular dalam kalangan guru. Terdapat juga beberapa kaedah membaca lain seperti mimik muka, membatang atau fonik.

Namun apa yang penting adalah membantu kanak-kanak agar benar-benar menguasai huruf, perkataan dan ayat yang dibaca bagi menjamin mereka berupaya menguasai pelbagai bidang ilmu apabila masuk ke peringkat sekolah rendah dan seterusnya.

Ibu bapa perlu mengambil tahu jika anak masih gagal membaca apabila masuk ke tahun satu. Ibu bapa seharusnya berusaha berbincang dengan guru dan memahami kaedah atau pendekatan yang diperkenalkan kepada anak-anak sama ada boleh diterima atau sebaliknya.

Persoalan lain seperti masalah dalaman murid atau ciri-ciri istimewa anak juga perlu diambil kira dan diteliti agar bantuan dapat diberikan pada peringkat awal. Lebih awal mengenal pasti masalah membaca anak-anak adalah lebih baik.

Secara keseluruhannya, Malaysia perlu memiliki generasi pelapis yang sedia untuk menimba ilmu daripada peringkat awal usia kanak-kanak jika mahu meningkatkan ketamadunan bangsa dan negara yang lebih tinggi. Jambatan ilmu itu adalah membaca.

Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PPMM sedia menyumbang idea dan bakti sekiranya pihak kerajaan seperti Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memerlukan kerjasama untuk berusaha meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan anak-anak Malaysia.

PPMM menerima banyak permintaan daripada ibu bapa untuk mengadakan Klinik Membaca Percuma tetapi semua aktiviti yang dirancang sepanjang 2019 terpaksa dihentikan sementara lantaran negara dilanda pandemik COVID-19. Insya-Allah program ini akan bersambung nanti.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang masih belum boleh membaca, anda tidak perlu susah hati kerana masih belum terlambat untuk mendapatkan bimbingan membaca daripada guru di tadika masing-masing apabila dibenarkan beroperasi sedikit masa lagi. PPMM sedia memberi khidmat nasihat sekiranya ibu bapa memerlukan bantuan untuk mengenal pasti masalah anak yang belum menguasai kemahiran membaca.

-- BERNAMA

Chahaya Abdul Manan merupakan Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan