TINTA MINDA

MEMUPUK PERPADUAN KOMUNITI DALAM KEBIASAAN BAHARU COVID-19

07/07/2020 09:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Badlishah Sham Baharin dan Mohammad Abdul Hamid

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar kepada masyarakat, merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac merubah gaya hidup masyarakat dengan ketara. Selain kesan kesihatan awam, pekerjaan, pembelajaran anak-anak dan perniagaan turut terkesan. Ada dalam kalangan anggota masyarakat yang kehilangan sumber pendapatan.

Simpanan

Hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Mac mendapati lebih dua per tiga (71.4 peratus) responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang satu bulan sahaja. Sebahagian besar iaitu 69.7 peratus terdiri daripada golongan yang baru memulakan alam kerjaya dalam tempoh kurang daripada satu tahun dan 63.2 peratus yang bekerja dalam tempoh satu hingga tiga tahun.

Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan tanpa mengira latar belakang masing-masing. Perkembangan ini menunjukkan masyarakat kita merupakan masyarakat yang prihatin, pemurah dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Kebiasaan baharu

Bagi mendepani cabaran berkaitan kebiasaan baharu (new normal), pelbagai bentuk sokongan diperlukan sama ada daripada sudut material, moral dan lain-lain. Sebagai anggota masyarakat, setiap individu boleh berperanan menjaga kebajikan jiran tetangga dan saudara mara, dengan bertanya khabar dan prihatin terhadap apa yang berlaku. Perkara yang mungkin nampak kecil namun memberi impak yang besar dalam mengukuhkan hubungan boleh diamalkan seperti saling berbalas buah tangan dengan jiran tetangga.

Pada peringkat komuniti setempat, inisiatif-inisiatif boleh diamalkan bersesuaian dengan konsep #kitajagakita yang kini kian sebati dalam kalangan rakyat di negara ini. Dengan kemudahan teknologi seperti aplikasi Whatsapp, Facebook, Googleform dan lain-lain, tinjauan boleh dilakukan secara berkala dalam kalangan penduduk setempat untuk mengenal pasti permasalahan-permasalahan yang dihadapi dan bentuk bantuan yang boleh diberikan.

Menerusi maklumat daripada data raya, bentuk bantuan yang diperlukan dapat dikenal pasti dengan mengambil kira keperluan khusus kumpulan sasaran. Golongan ibu tunggal, anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), belia menganggur dan isi rumah yang hilang sumber pendapatan mestilah diberikan perhatian sewajarnya berdasarkan keperluan mereka.

Oleh yang demikian, bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh penduduk setempat dapat dikenal pasti dan dipadankan berdasarkan keperluan. Melalui pendekatan ini, penggunaan sumber dapat dimanfaatkan dengan berkesan manakala pembaziran dapat dielakkan.

Sumbangan pelbagai pihak

Selain sokongan material dan moral, sumbangan kepakaran juga boleh diberikan. Anggota komuniti yang mempunyai pengalaman kerjaya atau kemahiran boleh memberi khidmat nasihat kerjaya atau kursus dalam talian secara percuma kepada golongan belia atau graduan yang menganggur. Setiap komuniti mestilah mengambil pendekatan yang kreatif dan praktikal untuk memenuhi keperluan komuniti masing-masing.

Komuniti setempat juga boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan atau pun badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan. Bagi yang memerlukan perkhidmatan kaunseling, Talian Khas Kaunseling COVID-19 yang diwujudkan melalui Talian Kasih dan WhatsApp Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta NGO seperti Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (Teratai) mestilah dimanfaatkan sebaiknya.

Insitusi keagamaan iaitu masjid dan rumah ibadat berada pada kedudukan yang baik untuk membantu anggota masyarakat berbilang kaum dan agama mendepani cabaran berkait kebiasaan baharu COVID-19 yang tidak mengenal warna kulit dan kepercayaan. Penyelarasan hendaklah dilakukan supaya sumber yang ada dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Rumusannya, dalam mendepani cabaran kebiasaan baharu yang tidak menentu, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan oleh komuniti setempat. Pendekatan berorientasikan “whole of society approach” mestilah diambil dengan menggembleng daya sumber seluruh anggota komuniti untuk meningkatkan kesejahteraan dan memupuk perpaduan dalam masyarakat. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk terus saling membantu antara satu sama lain demi memupuk perpaduan komuniti dalam kebiasaan baharu COVID-19.

-- BERNAMA

Badlishah Sham Baharin merupakan Timbalan Presiden IKRAM dan Mohammad Abdul Hamid adalah Perunding Polisi Awam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)