NOTA KAMPUS
29/06/2020 09:04 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muhd Khaizer Omar

Pembangunan sumber manusia merupakan kelangsungan pembangunan kemajuan sesebuah negara. Kayu ukur bagi kemajuan sesuatu tamadun dipengaruhi oleh sumbangan setiap individu di negara tersebut dalam bentuk kemahiran dan perkembangan pengetahuan pelbagai lapangan ilmu. Dalam menyelusuri revolusi industri keempat yang menuntut satu paradigma baharu dalam pelbagai sektor pekerjaan dan dasar digitalisasi yang memerlukan kemahiran tertentu serta kecelikan teknologi yang tinggi, individu perlu bersedia mendepani cabaran ini dengan lebih bijak dan cekal dalam merencana masa depan kerjaya yang lebih baik.

Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan program pendidikan dan kurikulum berbentuk latihan yang dilaksanakan di negara ini. Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk menghasilkan individu yang kompeten, berkemahiran dan berdaya saing sebelum menempuhi alam pekerjaan. Inisiatif kerajaan Malaysia dalam memberi penekanan kepada TVET bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga kerja yang berkemahiran terutamanya dalam sektor perindustrian seterusnya menghasilkan tenaga kerja tempatan yang mahir.

Tenaga kerja berkemahiran merupakan aset terpenting untuk negara bagi mencapai negara berstatus maju sepenuhnya. Walau bagaimanapun, pada peringkat sistem TVET, cabaran utamanya adalah untuk menghasilkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Selain itu, kualiti pelajar hasil program TVET juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan ekonomi yang mencabar.

Cabaran dalam sektor pekerjaan

TVET mendepani pelbagai cabaran dalam sektor pekerjaan pada hari ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kemajuan dan menyokong pembangunan negara. Kemajuan dalam bentuk ekonomi dan pembangunan kemahiran rakyat dapat direalisasikan melalui program TVET menerusi struktur kurikulum dan program pendidikan kemahiran yang seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Namun, wujud pandangan dan tohmahan skeptikal berkaitan TVET di negara ini yang masih meragui peluang masa depan kerjaya khususnya pelajar-pelajar lulusan TVET. Program TVET yang dilihat hanya sesuai untuk sekelompok pelajar yang keciciran akademik telah menjumudkan pemikiran masyarakat justeru program TVET kurang mendapat tempat di hati mereka.

Program-program TVET mendapat perhatian khusus dan sokongan daripada kerajaan berikutan pasaran kerja yang memerlukan pekerja berkemahiran. Impak positif ini turut menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Hasil kejayaan lepasan TVET mula dipromosi melalui media massa dan kaca televisyen melalui demonstrasi kemahiran dan kemampuan untuk menjalankan perniagaan berbekalkan kemahiran yang dipelajari.

Program-program TVET di negara ini mampu merungkai masalah pengangguran dalam kalangan lepasan kolej vokasional. Lepasan TVET yang berkemahiran mampu menjana sektor pekerjaan baharu justeru membuka peluang kepada lepasan dalam bidang lain untuk turut menyumbang bekerja dalam sektor perindustrian berasaskan berkemahiran. Graduan TVET daripada program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) contohnya sudah mampu untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Program TVET

Kemampuan program-program TVET melahirkan lulusan yang versatil terbukti dapat menjana kemajuan ekonomi negara. Rata-rata lulusan TVET diterima bekerja dalam sektor dan industri pekerjaan sebaik sahaja tamat program latihan mereka. Namun terdapat beberapa isu yang ingin diketengahkan berdasarkan keluh-kesah daripada lulusan TVET antaranya ketidakseragaman gaji yang diterima meskipun pelajar bergraduat daripada program yang sama berikutan ada majikan yang tidak mengiktiraf dan tidak tahu bahawa Diploma Vokasional Malaysia (DVM) merupakan kelayakan akademik lulusan TVET.

Berbeza dengan lulusan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang dilihat lebih mendapat tempat pekerjaan dalam industri, lulusan DVM sering tercicir. Ada dalam kalangan lulusan DVM hanya ditempatkan dalam sektor pekerjaan yang di luar bidang kemahiran mereka dan dibayar gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan dan kemahiran yang mereka perolehi. Jelas, pihak majikan memilih bulu dalam menerima graduan DVM di dalam organisasi mereka.

Perkataan vokasional dilihat satu dogma yang mengikat peluang dan kesamarataan yang perlu diberikan kepada graduan DVM.

Kempen program vokasional

Justeru, wacana berbentuk promosi dan kempen berkaitan program-program vokasional perlu dilipatgandakan agar pihak industri peka dan faham bahawa program DVM adalah setaraf dengan DKM.

Keterbukaan beberapa universiti awam dan swasta untuk menerima graduan lepasan kolej vokasional khususnya daripada program diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama merupakan satu langkah positif. Peluang melanjutkan pengajian ini membuktikan slogan pembelajaran sepanjang hayat benar-benar dipraktikkan oleh pusat pengajian tersebut. Namun peluang menyambung pengajian ini tidak diberikan secara meluas oleh universiti awam dan swasta di negara ini. Ada universiti yang terikat dengan syarat kemasukan pelajar yang memerlukan kelayakan untuk program pengajian tertentu. Justeru ia mengehadkan peluang untuk menyambung pengajian bagi lulusan kolej vokasional.

Terdapat pandangan daripada pemegang taruh dalam kalangan pengurusan universiti dan pendidik bahawa aras kesukaran yang rendah dan kandungan kurikulum terutama matapelajaran berbentuk akademik yang diajar di kolej vokasional yang tidak mantap mungkin menjadi penyebab lepasan kolej vokasional kurang berdaya saing untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Oleh itu, terdapat keperluan untuk menggaris semula objektif penubuhan kolej vokasional daripada segi penggubalan kurikulum dan unjuran pelajar yang keluar daripada kolej vokasional sama ada mereka ingin terus bekerja dalam industri atau melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Kesamarataan peluang perlu diberikan kepada lulusan kolej vokasional supaya pilihan sama ada untuk bekerja atau meneruskan pengajian dapat menentukan masa hadapan mereka. Perbezaan kelayakan akademik seharusnya bukan menjadi penghalang untuk menempuh alam pekerjaan atau menyambung pengajian. Orientasi pekerjaan pada masa kini bukanlah hanya melihat kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya kepada kemahiran dan kemampuan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan majikan.

-- BERNAMA

Dr Muhd Khaizer Omar merupakan Pensyarah Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan