TINTA MINDA

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

29/06/2020 08:01 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu merangka satu polisi jangka panjang untuk terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian demi kebaikan semua pihak terutamanya pelajar. Walaupun terdapat usaha untuk melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran ini beberapa tahun lepas namun tidak semua pihak yang benar-benar melakukannya. Selepas penularan wabak COVID-19 awal tahun ini, semua pihak mula mengunakan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi untuk melakukan proses pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian.

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian ketika PKP

Pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian menjadi keperluan mendesak ketika seluruh dunia termasuk Malaysia bergelut dengan masalah penularan wabak COVID-19. Wabak COVID-19 ini mudah menjangkiti orang ramai serta boleh membawa kepada risiko kesihatan yang teruk terhadap mereka yang telah dijangkiti terutamanya golongan warga tua, individu yang memiliki tahap ketahanan badan yang lemah serta mereka yang mempunyai sejarah atau rekod penyakit kronik. Sehingga kini, tiada vaksin atau penawar yang boleh digunakan secara khusus bagi merawat penyakit ini. Akibat daripada penularan wabak COVID-19, banyak negara termasuk Malaysia terpaksa mengambil langkah drastik bagi membendung penularan wabak itu. Antara langkah paling drastik yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia ialah dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu. Antara intipati utama PKP ialah penutupan semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara. Ketika sekolah dan IPT ditutup, kerajaan telah meminta pihak pengurusan sekolah dan IPT melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian. Kerajaan juga telah mengumumkan proses pengajaran dan pembelajaran di IPT akan dilaksanakan sepenuhnya secara maya atau dalam talian sehingga hujung tahun 2020 kecuali untuk program dan subjek akademik tertentu. Penularan wabak COVID-19 serta perintah dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu sekali gus menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian sangat penting dan perlu dikuasai sepenuhnya oleh semua pihak yang berkaitan dalam sektor pendidikan di negara ini iaitu pihak guru, pensyarah serta pelajar mereka.

Faedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian

Selain membendung penularan wabak COVID-19, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian perlu dilaksanakan sepenuhnya di negara ini kerana ia banyak memberi faedah dan manfaat kepada semua pihak terutamanya pelajar. Ia juga dapat mengurangkan pengunaan bahan–bahan seperti kertas. Pada masa yang sama, pelajar juga dapat didedahkan dengan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka untuk menghadapi dunia moden masa kini.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian seperti masalah kekurangan akses kepada internet dan kemudahan, ia tidak seharusnya dilihat sebagai batu penghalang bagi melaksanakan sepenuhnya kaedah moden ini. Pihak kerajaan terutamanya kementerian berkaitan perlu menyiasat segala rungutan yang diterima dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran moden ini dapat dilaksanakan sepenuhnya pada masa akan datang. Pembentangan Belanjawan 2021 perlu memberi keutamaan khusus bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam talian di semua sekolah dan IPT dalam negara. Peruntukkan kewangan perlu diberikan supaya setiap guru, pensyarah serta pelajar dapat menjayakan kaedah pengajaran dan pembelajaran ini pada masa akan datang dan bukan hanya mengunakannya ketika menghadapi waktu kecemasan sahaja.

-- BERNAMA

Dr Muzaffar Syah Mallow merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)