SUARA BELIA

BELIA WAJAR TEROKAI E-SUKAN

15/06/2020 08:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Jufitri Joha

Malaysia baru sahaja keluar daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghadapi fasa baharu pasca-COVID-19. Sehingga kini, belum ada vaksin bagi merawat pandemik yang menakutkan ini. Impak paling nyata adalah terhadap ekonomi dengan mengalami kesan paling buruk sejak Perang Dunia ke-2.

Di Malaysia, pengangguran diunjurkan sebanyak 3.9 peratus sambil berharap ia tidak mencecah 4.0 peratus, yang boleh mencetuskan penggera amaran. Kategori penganggur bagi kumpulan umur belia berusia dari 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Negara.

Dengan ciri-ciri mesra digital dan hyper connected junkies, generasi Z yang lahir selepas 1995 dijangka tidak mempunyai masalah untuk beradaptasi dengan penggunaan platform digital.

Pencetus perubahan

COVID-19 menjadi game changer yang mempercepatkan proses pendigitalan kehidupan termasuk pengendalian mesyuarat, penganjuran seminar yang dikenali sebagai webinar, penggunaan e-dompet hatta majlis tahlil pun diadakan secara dalam talian. Penggunaan platform digital untuk perniagaan juga turut meningkat sepanjang tempoh PKP.

Daripada sekadar menggunakan platform digital untuk berkomunikasi, generasi muda memanfaatkannya untuk menjana pendapatan. Satu arena yang mempunyai khalayak belia yang agak ramai dalam dunia digital dan mampu menjana pendapatan yang lumayan ialah sukan eletronik atau e-sukan (e-sport).

E-sukan menjadikan kegilaan generasi Z dengan pelbagai game seperti Mobile Legend, Starcraft, Counter Strike, Dota dan Fifa. E-sukan bukan sekadar memenuhi masa lapang tetapi sudah memasuki era profesionalisme iaitu menjadi suatu kerjaya.

E-sukan mendapat perhatian dunia apabila diunjurkan mempunyai viewer sebanyak 646 juta orang menjelang 2023, sekali gus menjana pendapatan yang lumayan. E-sukan juga bakal dipertandingkan secara acara berpingat di Sukan Asia 2022 di China.

E-sukan kian popular

Di Malaysia, walaupun sedikit lewat, e-sukan menjadi semakin popular dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan E-Sukan 2020-2025 bagi memperluaskannya dengan 5 strategi iaitu membangunkan atlet untuk kecemerlangan e-sukan; e-sukan yang beretika dan bertanggungjawab; akses kepada infrastruktur e-sukan; pembinaan ekosistem e-sukan yang mampan; dan mengawal selia undang-undang dan tatakelola yang baik. Penulis difahamkan bahawa Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican turut memberikan perhatian yang baik kepada e-sukan.

Walaupun begitu, e-sukan terus menjadi perdebatan hangat kerana ia masih dianggap oleh sesetengah pihak sebagai bukan sukan kerana tiada elemen fizikal.

E–sukan juga menerima pelbagai imej dan persepsi negatif khususnya daripada ibu bapa lebih-lebih lagi apabila terdapat kes mati kerana terlalu ketagihan main game dan mengabaikan kewajipan kehidupan seperti solat dan menuntut ilmu serta tidak mengeluarkan peluh seperti sukan tradisonal yang lain. Persepsi ini wajar ditangani pelbagai pihak.

Selepas sekian lama mendekati, memerhati dan berinteraksi dengan kelompok belia dalam e-sukan in, penulis menyimpulkan e-sukan sebagai mempunyai elemen kebaikan (walaupun tidak dinafikan turut mempunyai elemen negatif jika tidak ditangani dengan sebaiknya) dan wajar dibimbing dengan memasukkan agenda pendidikan, ekonomi, kesihatan, pembinaan kerjaya dan penglibatan dalam persatuan belia dan kesukarelawanan.

Tubuh Esports MedicA

Untuk itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) menubuhkan Esports Medical Academic (Esports MedicA) iaitu jawatankuasa perubatan komprehensif yang khusus tertumpu kepada pemain e-sukan dan permainan video. Esports MedicA diterajui MBM selain dianggotai Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Green Crescent Malaysia dan Kelab Sukan Elektronik Darul Khusus.

Kumpulan ini diasaskan dan diselaraskan oleh Dr. Zatul-´Iffah Abu Hasan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Tetap Pendidikan (Kesihatan) MBM selain bertugas sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM. Terdapat dua elemen lain iaitu elemen e-sukan yang diselaraskan oleh Muhammad Faries Faizal Shamsul (pengasas bersama / Ahli Jawatankuasa Tetap Pendidikan & Presiden Kelab Sukan Elektronik Darul Khusus) dan elemen perubatan. Ahli perubatan Esports MedicA adalah terdiri daripada pakar mata, telinga, kognitif, ergonomik dan psikologi.

Kumpulan perubatan ini berterusan bekerjasama dengan kumpulan e-sports bagi lebih memahami dan mendekati pemain-pemain yang terlibat. Kumpulan ini bersifat neutral tanpa mengikut arus stigma negatif atau positif masyarakat terhadap permainan e-sukan dan bertujuan untuk menyumbang dalam pembangunan e-sukan secara sihat. Kewujudan Esports MedicA ternyata melegakan sesetengah ibubapa.

Elemen kerjaya

MBM juga cuba mempromosikan e-sukan secara positif sebagai elemen pembinaan kerjaya, peningkatan kemahiran dan keusahawanan. Ia merupakan salah satu solusi penciptaan pekerjaan pasca-COVID-19.

Dalam e-sukan, selain pemain profesional, streamer merupakan watak penting. Streaming adalah satu aktiviti di mana seseorang merakam permainan mereka dan menyiarkan di platform live streaming melalui internet.

Streamer adalah seseorang yang menyiarkan permainan game mereka sebagai hobi atau kerjaya dan kebiasaanya streamer mempunyai pengikut (followers) mereka tersendiri. Elemen streamer adalah sesi perkongsian dan kelas pendedahan kepada peserta bagaimana mereka boleh menjana pendapatan melalui streaming dan juga tambah nilai terutamanya dalam bidang teknologi yang memerlukan kemahiran seperti menyunting photoshop, video maker dan penggunaan production software.

Selain dibayar, streamer berpeluang menjana pendapatan seperti melalui iklan, pay perview dan penjualan produk selain dapat membuat crowd funding untuk membiayai aktiviti-aktiviti amal kebajikan. Justeru, streamer juga dididik agar tidak hanya mementingkan keuntungan tetapi juga membuat amal kebajikan dan kesukarelawanan melalui platform ini. Justeru, tidak hairanlah kita mendengar mereka mengumpul derma seperti untuk tabung memerangi COVID-19 dan membantu pembiayaan rawatan pesakit kanak-kanak.

Memandangkan kebanyakan streamer tidak mempunyai pendidikan formal, maka mereka boleh diperlengkapkan dengan kedua-dua kemahiran fizikal (hard skill) seperti yang dinyatakan di atas dan kemahiran insaniah (soft skill) seperti kemahiran komunikasi, penjenamaan, pengurusan kewangan, kandungan kreatif, penyelesaian masalah, pengetahuan pengisian dan produksi. Maka ini dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka sekaligus mempromosi pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu, MBM berusaha mempromosikan e-sports Skill sebagai kemahiran yang bukan hanya untuk diaplikasikan dalam e-sukan tetapi dalam bidang-bidang lain yang mampu menjana keuntungan dan pendapatan.

E-sukan diyakini mempunyai masa depan yang cerah dan mampu menjadi pilihan kerjaya, peningkatan kemahiran dan keusahawanan bagi memberikan pilihan kepada belia menceburinya semasa COVID-19 mahupun pasca-COVID-19. Peranan MBM akan terus menjadi pembimbing agar e-sukan mempunyai hala tuju, agenda dan impak yang positif dan menyihatkan untuk belia dan negara.

Justeru, Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Belia MBM (JAKTEM) mencadangkan agar belia menerokai dan merebut peluang yang ditawarkan e-sukan.

--BERNAMA

Jufitri Joha ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)