TINTA MINDA

Peranan selebriti dalam komunikasi alam sekitar

06/06/2020 01:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh

Baru-baru ini, tular tentang selebriti tempatan, Maya Karin, yang menzahirkan rasa kecewanya terhadap sebuah portal beli-belah dalam talian kerana membenarkan iklan dan penjualan telur penyu dalam platformnya.

Maya Karin sememangnya dikenali sebagai pejuang penjagaan alam sekitar sejak dahulu lagi, dan tegurannya berhubung isu berkenaan wajar diberikan pujian.

Tahun lepas, Maya Karin pernah dilantik sebagai duta River of Life (ROL) dan kata-katanya bahawa “sungai bukan tong sampah, sungai adalah sungai dan tong sampah adalah tong sampah” turut menarik perhatian umum.

Pengaruh besar

Tidak dapat dinafikan, dalam perspektif bidang Komunikasi Alam Sekitar, peranan seorang selebriti atau ikon masyarakat seperti Maya Karin adalah besar dan amat penting.

Hal ini kerana selebriti atau ikon masyarakat adalah individu yang terkenal dan mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat.

Tindakan mereka ke arah penyampaian mesej alam sekitar yang lazimnya dianggap sebagai berat, abstrak dan sukar difahami dapat menarik perhatian masyarakat terhadap isu sebegini.

Misalnya, dalam isu penjualan telur penyu ini, dapat dilihat bahawa liputan terhadap isu ini adalah amat meluas selepas dari tindakan Maya Karin menyuarakan perkara berkenaan dalam platform media sosialnya.

Selepas ciapan beliau yang berkongsikan ciapan Turtle Conservation Society of Malaysia berhubung isu terbabit, dapat dilihat berlakunya kebanjiran perkongsian yang rata-ratanya daripada pengikut laman media sosial beliau, yang turut sama menyuarakan kekecewaan mereka.

Hakikatnya, seseorang selebriti mempunyai kapasiti yang besar untuk membawa isu alam sekitar sebegini ke ruangan pendapat umum dan dibincangkan secara meluas oleh umum.

Justeru, tidak hairanlah mengapa isu penjualan telur penyu ini tular di segenap media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga pihak yang berkenaan telah tampil dengan penjelasan secara terbuka menyuarakan bahawa mereka telahpun mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu berkenaan.

Peranan semak imbang

Bayangkan jika isu sebegini hanya dikongsikan oleh mana-mana individu lain yang kurang berpengaruh dalam masyarakat, keberangkalian isu ini untuk tular, mendapat perhatian publik, dan mendapat respon pantas dari pihak yang terlibat adalah tipis. Kemungkinan ia akan berakhir dengan kekecewaan sahaja.

Selebriti yang berpengaruh berupaya menjalankan peranan semak imbang dalam isu penting sebegini dalam masyarakat.

Sebenarnya, isu seperti ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat. Pada 2018, tindakan tidak bertanggungjawab individu yang menghantar bungkusan mengandungi ular sawa menerusi perkhidmatan pos turut ditularkan.

Tindakan sebegini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah zalim dan mengancam nyawa orang lain khususnya mereka yang bertugas dalam memastikan bungkusan diterima oleh pembeli.

Persoalannya, mengapa perkara sebegini terus berlaku? Jawapannya berbalik kepada kesedaran dan sikap masyarakat yang masih cetek terhadap isu alam sekitar.

Perkasa peranan komunikasi

Kepentingan terhadap penjagaan alam sekitar masih tidak menjadi agenda penting dalam kehidupan sesetengah ahli masyarakat, lantaran dianggap enteng.

Justeru, pemerkasaan peranan komunikasi alam sekitar yang menekankan tentang peri pentingnya penyampaian mesej alam sekitar kepada masyarakat sama ada menerusi media sosial mahupun media tradisional adalah penting bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat Malaysia berkenaan isu sebegini.

Percayalah, peningkatan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap isu alam sekitar berupaya meningkatkan amalan mereka dalam penjagaan alam sekitar.

-- BERNAMA

Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh ialah Pensyarah Kanan yang juga Pengerusi Rancangan Prasiswazah (Komunikasi Alam Sekitar) di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)