PENA WANITA

WANITA DAN PENGURUSAN KEWANGAN: SEMASA DAN PASCA-PKPB

01/06/2020 10:04 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Dr. Aisyah Abdul Rahman

Walaupun kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bertarikh 28 Mei 2020 membayangkan bahawa jangkaan sekatan ke atas aktiviti sosial serta sektor pendidikan akan dilonggarkan dalam masa terdekat sekiranya kes COVID-19 harian di Malaysia kekal rendah pada dua atau satu digit, namun itu tidak bererti kita boleh bersenang hati dan sekali gus bebas daripada impak negatif terhadap ekonomi akibat pandemik itu.

Malah, ada kemungkinan munculnya gelombang kedua dan ketiga sekiranya rakyat Malaysia tidak mengamalkan norma baharu sepenuhnya. Apatah lagi, kita masih dalam bulan meraikan Aidilfitri dengan ramai umat Islam pastinya masih berhasrat menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara di berlainan negeri sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) dilonggarkan selepas 9 Jun kelak.

Impak ekonomi

Realitinya, selagi vaksin belum dijumpai, kita masih tertanya-tanya bilakah wabak COVID-19 akan berakhir?

Sekiranya penawar ditemui, kesan pandemik ini terhadap ekonomi negara, syarikat, dan isi rumah akan mengambil masa yang panjang untuk pulih. Mungkin memakan masa setahun hingga dua tahun atau bergantung kepada sejauh mana kecekapan ejen-ejen ekonomi tersebut beradaptasi dengan situasi semasa terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan.

Ibarat perumpamaan, walaupun seluruh dunia mengalami ribut taufan di lautan yang sama, namun masing-masing mempunyai spesifikasi kapal yang berbeza. Ada yang besar, gah dan utuh. Ada yang sederhana kukuh, manakala ada ibarat rakit buluh ataupun secebis pelepah kelapa yang pada bila-bila masa sahaja mungkin ditelan ombak.

Analogi ini menggambarkan bahawa pandemik COVID-19 memberikan impak ekonomi yang berbeza kepada kita semua.

Maka, adalah wajar kita bersiap siaga menguruskan kewangan berdasarkan kemampuan masing-masing dengan sebaik mungkin untuk bertahan dengan ujian getir ini.

Peranan wanita

Dalam musim perayaan dan pandemik COVID-19 ini, tidak dinafikan bahawa wanita berperanan besar dengan memakai pelbagai ‘topi’ yang berbeza iaitu selaku isteri, ibu, guru, tukang masak, wanita berkerjaya, jiran, dan penasihat kewangan keluarga.

Justeru, wanita perlu cerdik mengawal emosi dan tuntas serta bijaksana dalam menguruskan keluarga dan kewangan isi rumah. Contohnya, bagi yang terkesan dengan impak negatif COVID-19, si ibu boleh memasak sendiri hidangan berbanding memesan makanan melalui ‘grab food’.

Tambahan lagi, dengan masa terluang yang ada sepanjang PKPB, si ibu boleh menanam sayur-sayuran seperti cili, pandan, bayam dan pegaga di dalam pasu atau pun di halaman rumah sebagai terapi minda menghilangkan stres.

Selain menjimatkan perbelanjaan dapur serta sayur mudah dipetik kala diperlukan, ia juga lebih sihat kerana bebas bahan kimia dan racun serangga.

Isteri yang ingin membantu ekonomi suami yang terkesan dengan COVID-19 juga boleh membuat jualan dalam talian mengikut kepakarannya seperti menjual masakan menu tradisi istimewa mahupun menjadi ejen ‘dropship’ produk berjenama.

Elak boros

Di samping itu, golongan wanita haruslah menahan diri daripada berbelanja boros semasa musim perayaan dan PKPB. Hindari diri daripada membeli barangan berjenama mewah sekiranya tidak berkemampuan.

Ada ungkapan yang menyatakan bahawa individu yang mempunyai nilai diri yang tinggi, tidak memerlukan barangan berjenama mahal untuk ditayangkan kepada orang ramai. Kajian psikologi menunjukkan bahawa individu yang mempunyai nilai diri yang rendah cenderung menonjolkan bukti kemewahan palsu sehingga sanggup berbelanja di luar kemampuan bagi menutupi kelemahannya.

Namun begitu, jangan pula tersilap tafsir dengan kenyataan ini. Seandainya wanita tersebut sememangnya seorang bangsawan, hartawan dan dermawan, tidak salah baginya memilih barangan yang berkualiti dan mahal sesuai dengan cita rasanya.

Bagaimanapun, utamakanlah membantu sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan, mahupun umat seagama di persada antarabangsa yang terkesan dengan pandemik COVID-19 berbanding berbelanja mewah untuk diri sendiri.

Manfaatkan bantuan

Wanita berkerjaya lazimnya mempunyai kenderaan sendiri untuk ke pejabat mahupun mempunyai aset hartanah sebagai pelaburan. Maka, mereka mempunyai pilihan memanfaatkan insentif kerajaan seperti moratorium pembiayaan sewa beli kenderaan dan pembiayaan bercagar.

Keputusan untuk melaksanakan atau tidak moratorium pembiayaan bergantung kepada prestasi kewangan semasa mereka. Sekiranya diberhentikan kerja akibat COVID-19, maka moratorium selama 6 bulan ini sangat-sangat membantu wanita tersebut dalam mengharungi zaman gawat.

Bagi senario wanita tersebut masih bergaji penuh, namun pada masa yang sama dibelenggu ‘hutang jahat’ seperti pembiayaan kad kredit, skim ansuran mudah, dan pembiayaan peribadi, maka dia sewajarnya memanfaatkan moratorium pembiayaan kereta dan rumah yang diberikan kerajaan untuk menyelesaikan kesemua ‘hutang jahat’nya.

Dalam situasi lain wanita tersebut bergaji penuh, ada ‘hutang jahat’, namun tiada simpanan atau pelaburan, maka moratorium pembiayaan kenderaan boleh digunakan untuk menyimpan atau melabur dalam instrumen kewangan patuh Syariah seperti deposit simpanan tetap, deposit berlandaskan harga emas, simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, mahupun pelaburan emas fizikal.

Pertimbangan untuk mengambil moratorium pembiayaan rumah pula memerlukan perbandingan antara keuntungan pelaburan yang akan diperoleh dan kos pembiayaan yang dikenakan oleh bank. Jika kadar keuntungan pelaburan lebih tinggi berbanding kos pembiayaan melaksanakan moratorium, maka pilihan mengambil moratorium adalah bijak.

Bagi mereka yang bergaji penuh serta telah mempunyai simpanan pelaburan yang tinggi, wajarlah mereka menolak moratorium dan membuat bayaran ansuran bulanan seperti biasa. Akhir kata, pengurusan kewangan perlulah berdasarkan kemampuan sendiri seperti kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Aisyah Abdul Rahman ialah Pensyarah Kewangan di Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)