NOTA KAMPUS
27/05/2020 12:30 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad

Kehadiran pandemik COVID-19 yang kini sedang melanda dunia telah melumpuhkan pelaksanaan aktiviti sesebuah negara. Virus ini telah merubah ekonomi dan gaya hidup masyarakat sehingga wujudnya satu norma baharu yang perlu diamalkan oleh penduduknya bagi mengekang penularan wabak ini.

Negara terpaksa menyediakan peruntukan yang tinggi bagi menghalang penyebaran COVID-19. Pelbagai strategi telah diatur bagi menangani wabak ini antaranya dengan melarang perhimpunan beramai-ramai, penutupan institusi pendidikan, menghentikan perkhidmatan pengangkutan awam, ‘mengunci’ bandar dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Namun begitu, timbul beberapa persoalan iaitu bagaimana kita melihat keberkesanannya? Medium apa yang digunakan? Paparan makluman yang bagaimana diperlukan?

Indikasi dari sistem maklumat geografi

Melalui geomatik gunaan, persoalan-persoalan di atas mampu dirungkai. Skop bidang geomatik gunaan sangat luas, namun dalam menjawab persoalan tadi bidang yang dimaksudkan ialah sistem maklumat geografi (GIS).

Keberkesanan GIS telah diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menyatakan bahawa:

“Sistem Maklumat Geografi (GIS) bernilai di dalam mengumpul dan mempersembahkan data pada peringkat kebangsaan dan wilayah, khususnya data alam sekitar dan data hasilan kesihatan kepada impak dan kegunaan perkhidmatan kesihatan (WHO, 1996).”

Beberapa kumpulan penyelidik di Australia bermula dari 1990an lagi telah menjalankan penyelidikan menggunakan aplikasi GIS bagi sektor kesihatan awam. Malah hubungan antara penyakit dan persekitarannya memang sudah diketahui umum sejak berzaman lagi. GIS juga telah dilihat sebagai alat yang berpotensi untuk memperbaiki kesihatan penduduk dan menyumbang kepada pembangunan polisi, pelaksanaan dan sebagainya.

‘WHO Statistical Quarterly’ menyatakan bahawa GIS adalah satu alat yang berguna untuk penyelidik dalam bidang kesihatan kerana kesihatan dan penyakit itu adalah akibat dari pelbagai gaya hidup dan faktor persekitaran termasuk tempat tinggal manusia sendiri. Umumnya, GIS berperanan dalam mengumpul, menyimpan, menganalisis, memanipulasi dan memaparkan semula maklumat mengikut kehendak pengguna.

Perkongsian data

COVID-19 merupakan wabak penyakit baharu di era ini. Secara umumnya, peranan GIS dalam membendung gejala ini adalah jelas. GIS boleh memberi hubungan antara wabak COVID-19 dengan potensi jangkitan berdasarkan sejarah pergerakan pesakit. Sehubungan itu langkah pengawalan dan pencegahan dapat dilakukan.

Semua data attribute mengenai COVID-19 dihubungkan secara atas talian oleh Center for Science and Engineering (CSSE) di John Hopkins university. Ianya menjadi rujukan seluruh dunia untuk mendapatkan status terkini wabak COVID-19. Semua ini dilakukan dengan bantuan pemetaan daripada Esri.com.

Esri adalah satu platform perkongsian pemetaan lokasi secara meluas beserta analisa data. Selain dashboard oleh John Hopkins University, terdapat juga dashboard daripaha WHO, Japan COVID-19, Canada Outbreak, COVID-19 Outbreak Italy, and Hong Kong COVID-19. Terdapat juga data interaktif statistik COVID-19 dikongsikan dengan kerjasama Esri oleh Channel News Asia Singapore. Semua data adalah berasaskan GIS.

Aplikasi sebagai rujukan

Esri Malaysia menyediakan portal hub GIS sebagai satu platform perkongsian data GIS berkaitan COVID-19 di Malaysia dan juga seluruh dunia. Terdapat juga dashboard kes di Malaysia yang boleh dilihat dengan lebih jelas dan mudah difahami. Selain itu, terdapat beberapa aplikasi yang berguna untuk diekses iaitu peta lokasi hospital rujukan dan 19 pusat kuarantin di seluruh malaysia, peta lokasi yang dilawati pesakit boleh juga diekses untuk memberikan nasihat perjalanan kepada penduduk Malaysia, aplikasi taburan penduduk berisko dijangkiti COVID-19 juga boleh diketahui dengan melihat peta kawasan PKPD dan aplikasi peta lokasi aduan pelanggaran PKP oleh rakyat Malaysia.

Semua aplikasi ini adalah berasaskan satu sistem yang sama iaitu GIS. Selain daripada itu terdapat juga aplikasi GIS yang dibangunkan oleh negeri Sarawak yang dipanggil Sarawak COVID19 Tracker Dashboard yang memaparkan kes-kes di negeri itu bagi memudahkan penyeliaan di sana. Manakala di Pulau Pinang juga terdapat Dashbord Penang Lawan COVID-19 bagi tujuan yang sama. Terdapat juga aplikasi dashboard GIS yang dibangunkan oleh syarikat swasta dan pusat pengajian tinggi seperti MAP2U Sdn. Bhd dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang memaparkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia.

Di sini dapatlah disimpulkan bahawa semasa negara menghadapi situasi COVID-19 ini, geomatik gunaan melalui GIS telah digunapakai secara meluas bagi membantu penduduk Malaysia malah penduduk dunia untuk mengetahui maklumat terkini tentang COVID-19 secara terus melalui paparan Peta GIS.

-- BERNAMA

Artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad dan Sr. Dr. Nazirah Binti Mohamad Abdullah yang merupakan penyarah di Pusat Geomatik Gunaan Untuk Pencegahan Bencana, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, University Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan