TINTA MINDA

MEMPERKASA INDUSTRI KREATIF NEGARA

27/05/2020 11:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Saifuddin Abdullah

[MERENTAS RUANG] - BIL 3, 27 MEI 2020

MEMPERKASA INDUSTRI KREATIF NEGARA

Kita mengimpikan pembangunan yang holistik, komprehensif dan berimbang, termasuk bidang kreatif. Ia hendaklah dibina dengan berasaskan nilai-nilai estetika dan manusiawi yang lahir dari agama, kebudayaan dan sejarah serta mengambilkira soal jati diri nasional dan budaya tinggi.

Bagi memperkasa industri kreatif negara, sejak berada di KKMM, saya telah mengadakan 10 sesi perundingan dengan para pemegang taruh. Saya komited dan garis-garis haluannya telah dikenalpasti dan sebahagiannya telahpun dilaksanakan.

Langkah utama ialah saya akan menubuhkan dan mempengerusikan Pasukan Petugas Industri Kreatif Negara (PPIKN). Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Hajah Nancy bersetuju menjadi Pengerusi-Bersama. PPIKN akan dianggotai para pemegang taruh daripada kerajaan, industri dan masyarakat sivil.

Peranannya ialah memajukan ekosistem industri kreatif negara yang holistik, futuris dan bertaraf antarabangsa. Ini termasuklah menubuhkan sebuah platform pusat atau payung peringkat kebangsaan. Industri kreatif mesti menjadi agenda nasional.

Kita hendaklah mempunyai pandangan sarwa yang tepat tentang industri kreatif. Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman, ia terdiri daripada empat komponen.

Empat komponen tersebut ialah: Warisan iaitu ‘ekspresi budaya tradisional’ (seni kraf, perayaan-perayaan, sambutan-sambutan) dan ‘tempat-tempat kebudayaan’ (monumen bersejarah, muzium, perpustakaan, arkib); Seni iaitu ‘seni visual’ (lukisan, arca, antik, fotografi) dan ‘seni persembahan’ (muzik live, teater, tarian, opera, puppetry, sarkas); Media iaitu ‘penerbitan dan percetakan’ (buku, surat khabar, penerbitan-penerbitan lain), ‘audio-visual’ (filem, televisyen, radio) dan ‘media baru’ (kandungan digital, software, permainan video, animasi); dan Kreatif Fungsional iaitu ‘rekacipta’ (hiasan dalaman, grafik, fesyen, barang kemas, permainan/toys) dan ‘perkhidmatan kreatif’ (arkitek, pengiklanan, penyelidikan, perkhidmatan kebudayaan, perkhidmatan digital).

Kita perlu menilai dan menambahbaik Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN). Terdapat bidang-bidang kreatif yang terletak di bawah sesuatu kementerian tertentu. Kita perlu menyenaraikan siapa bertanggungjawab dalam bidang apa.

Dana industri kreatif adalah terhad. Oleh itu, kita perlu melakukan audit terhadap apa-apa yang telah dibelanjakan selama ini dan merancang penggunaannya pada masa depan dengan berhemah, adil, terbuka, telus, berkesan dan bertanggungjawab.

Satu daripada Teras Strategik KKMM ialah ‘Memangkin Industri Kandungan Kreatif yang Berdaya Saing dan Bertaraf Global’. Kami telah menentukan beberapa objektif spesifik. Contohnya, filem tempatan memenangi Anugerah Oscar dan muzik tempatan memenangi Anugerah Grammy. Juga agar Malaysia meningkat dalam beberapa ranking antarabangsa seperti International Box-Office Revenue Ranking. Bagi pengantarabangsaan, KKMM akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri.

Tumpuan akan diberi kepada untung nasib para penggiat seni. Isu-isu mendesak perlu ditangani. Contohnya, definisi pelbagai pekerjaan seni, data penggiat seni, pendidikan, latihan, biasiswa, perlindungan peluang pekerjaan buat lulusan seni budaya, kandungan tempatan, pendaftaran dan dokumen individu (SOCSO, KWSP, LHDN), akreditasi, keusahawanan, pinjaman bank, insentif cukai, cukai hiburan, penyemakan undang-undang sedia ada, hak cipta, penguatkuasaan, peraturan berbeza di negeri berbeza, bantuan guaman, produksi tempatan vs produksi luar negeri, skim wajib tayang, perbadanan muzik, pendigitalan, teknologi kini dan trajektori masa depan.

Oleh kerana ramai penggiat seni berhadapan dengan masalah akibat pandemik covid19, maka, kerajaan telah menyenaraikan golongan karyawan, artis dan penyanyi sebagai penerima bantuan Pakej PRIHATIN. Bagi membantu para penyanyi, beberapa program dalam talian dianjurkan, contohnya “Nyanyi dari Rumah” oleh RTM dan Bahagian Pembangunan Kandungan KKMM menganjurkan “Muzik dari Rumah” di youtube dan laman web Muzik Malaysia.

Ketika artikel ini ditulis, kerajaan sedang merancang sebuah Pelan Pemulihan Ekonomi yang bakal diumumkan Perdana Menteri tidak lama lagi. Bagi tujuan ini, KKMM telah menyampaikan cadangannya kepada Kementerian Kewangan.

Bagi membolehkan penggiat seni bekerja-semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan telah membenarkan penggambaran filem, drama, dokumentari dan pengiklanan selepas Hari Raya Aidilfitri. Kini, perbincangan sedang diadakan untuk acara live pula.

Semoga cita dan citra seni budaya Malaysia akan menjadi lebih gemilang.

--BERNAMA

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)