NOTA KAMPUS
22/05/2020 04:07 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Pandemik COVID-19 bukan saja mengancam nyawa dan tahap kesihatan, tetapi mengubah sama sekali cara dan gaya hidup manusia di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Walaupun ancaman wabak ini belum berakhir, namun kehidupan harian anggota masyarakat sudahpun mula berubah sedikit demi sedikit dengan masing-masing perlu menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk kelangsungan kehidupan seterusnya.

Tuntasnya, perubahan dalam cara hidup bukan lagi satu pilihan kepada rakyat kita yang turut terjejas teruk angkara virus berbahaya ini.

Antara perubahan paling ketara yang sedang dialami oleh anggota masyarakat kita ialah, dari aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Jika selama ini majoriti dari kita tidak begitu mempedulikan keperluan untuk menjaga kebersihan diri, kini ia bukan lagi satu pilihan. Wabak ini sekali gus menyedarkan kita betapa amalan penjagaan kesihatan dan kebersihan tidak boleh diabaikan. Kini, amalan mencuci tangan dengan kerap, menggunakan pensanitasi tangan, memakai penutup hidung dan mulut bila bergejala serta amalan penjarakan sosial mula menjadi cara hidup baru kita sekali gus menjadi titik perubahan yang tidak boleh kita tolak.

Opsyen kekal

Kalau sebelum ini bekerja dari rumah dianggap sesuatu yang masih “tidak biasa” dalam kalangan pekerja di negara ini, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), kita “dipaksa” bekerja dari rumah. Kini baik sektor awam mahupun swasta mula menerima budaya bekerja dari rumah sebagai cara kerja masa hadapan yang amat signifikan dan memenuhi keperluan dunia pekerjaan.

Jelas perubahan ini bukan lagi satu pilihan kepada majikan dan pekerja di negara kita. Misalnya, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Jalil Rasheed, bekerja dari rumah kini merupakan opsyen kekal, bukan hanya bagi tempoh sepanjang PKP sahaja, di mana PNB mula memperkenalkan cara bekerja dari rumah sebagai pilihan tetap kepada kakitangannya. Justeru majikan dan pekerja perlu berubah dari tidak biasa kepada biasa.

Sektor ekonomi adalah antara segmen yang cukup terjejas bila kerajaan terpaksa melaksanakan PKP angkara serangan wabak COVID-19 ini. Misalnya, peniaga kecil terutamanya dari kalangan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah golongan yang sangat terkesan dan hilang punca pendapatan secara total. Maka, para peniaga juga dipaksa untuk berubah dari cara berniaga secara tradisional kepada norma baharu iaitu perniagaan dalam talian. Jelas sekali transaksi perniagaan dalam talian naik berlipat ganda ketika PKP termasuk urusan jual beli juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Jadi melangkah ke hadapan, jika para peniaga tidak mahu terus menaggung kerugian atau ketinggalan, mereka sudah tidak ada banyak pilihan selain berubah cara dan corak perniagaan agar boleh terus kekal relevan, selari dengan keperluan dan kehendak pengguna di mana pengguna kelihatan lebih selesa berjual beli dalam talian.

Kelaziman berubah

Di samping itu, wabak ini juga memaksa dan menyedarkan rakyat betapa perlunya kita mengubah corak perbelanjaan supaya tidak berhadapan dengan masalah kewangan yang serius. Misalnya kini kita berbelanja dengan lebih berhemat dan berhati dengan mengutamakan aspek jimat cermat serta berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

Malah, jika sebelum ini kita tidak memberi perhatian kepada aspek tabungan kecemasan, kini lebih sedar betapa tabungan kecemasan sangat penting untuk survival ketika dilanda krisis seperti ini. Maka perubahan ini juga bukan lagi satu pilihan.

Serangan wabak ini menyebabkan sektor pendidikan negara turut menerima kesan langsung. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika PKP misalnya menerima perubahan yang cukup drastik apabila guru dan murid dipaksa berinteraksi secara maya melalui pelbagai platform digital. Konsep e-pembelajaran mula melanda dunia pendidikan negara. Ini termasuklah di peringkat universiti apabila sesi pembelajaran turut dilaksanakan secara maya. Jadi guru dan pensyarah tidak mempunyai pilihan lagi, selain mengadaptasi diri dan menerima serta melaksanakan perubahan yang diperlukan.

Tuntasnya, perubahan dalam sektor pendidikan bukan lagi satu pilihan.

Jelas sekali wabak ini mula mengubah cara hidup, tingkah laku dan pemikiran anggota masyarakat kita secara total. Justeru, hanya yang cekal, tabah dan bersedia serta berani untuk berubah sahaja mampu bertahan dan meneruskan survival kehidupan masing-masing. Ternyata pilihan kita sangat terhad iaitu, sama ada kita berubah atau akan diubah.

Semoga kita terus diberi kekuatan untuk melazimi segala perubahan yang sedang dan bakal berlaku.

--BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan