TINTA MINDA
22/05/2020 04:06 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hajah Hakimah Yusof

Falsafah sambutan perayaan dalam agama Islam sangat menarik dan unik untuk dibahaskan. Terdapat dua perayaan utama dalam Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Kalimah ‘eid berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kembali. ‘Eid bererti kembali kepada Allah SWT secara menyeluruh dan holistik.

Islam meletakkan perayaan ini sebagai suatu ibadah dan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru, syarak menyediakan garis panduan menyeluruh berhubung tarikh, masa, tatacara sambutan dan sebagainya. Apa yang jelasnya, perayaan dalam Islam hendaklah disambut dan diraikan berdasarkan garis panduan syarak serta perlu dijauhi daripada adat dan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Aidilfitri berbeza

Aidilfitri 1441H yang dinanti-nanti oleh semua insan yang menjalani ibadah puasa telah muncul kembali setelah ditinggalkan hampir 11 bulan lalu. Rasa syukur dipanjatkan kerana Allah SWT masih memberi peluang menyambut kemenangan setelah sebulan kaum muslimin mengabdikan diri beribadah kepadaNya di bulan Ramadan.

Namun suasana Syawal tahun ini agak luar biasa lantaran penularan wabak COVID-19, yang menyebabkan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau terpaksa dihadkan. Amalan ziarah menziarahi, kunjungan bersama sanak saudara dan sebagainya juga dihadkan malah budaya balik kampung merentasi negeri juga ditegah. Syawal kali ini digalakkan tertumpu kepada kediaman masing-masing sahaja.

Normal baharu meraikan Aidilfitri 1441H di Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini sudah tentu memerlukan kekuatan dalaman diri dan komitmen mantap untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Jika dalam melaksanakan tugas dan menjalankan amanah, kita dituntut menjadi pekerja yang kuat dan amanah atau al-Qawiy dan al-Amin, pelaksanaan normal baharu ini juga memerlukan tahap integriti yang tinggi dalam diri setiap individu.

Al-Qawiy dan Al-Amin

Konsep insan al-Qawiy dan al-Amin adalah berdasarkan firman Allah dalam al-Quran melalui Surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah"

Ayat ini mengisahkan perihal ketika Nabi Musa a.s melarikan diri ke negeri Madyan daripada pegawai-pegawai Firaun yang ingin membunuhnya. Menurut Tafsir Mubin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kebanyakan kitab tafsir lain seperti Tafsir Fi Zilal al-Quran karangan Saiyyid Qutb dan Tafsir al-Quran al-Adzhim karangan Abdul Rahman al-Mursali, Nabi Syuib a.s telah bertanyakan kepada anaknya “Bagaimanakah anakanda tahu bahawa dia seorang kuat dan amanah?, maka jawab anaknya “Dia telah mengangkat sebuah batu yang besar yang hanya boleh diangkat oleh sepuluh orang lelaki dan ketika anakanda datang menjemputnya ke rumah kita dia telah menyatakan: “Anda berjalanlah di sebelah belakang dan pandulah saya di hadapan anda, dan ketika saya datang dekatnya dia menundukkan matanya dan tidak memandang anakanda”.

Menurut Hamka dalam Kitab Tafsir al-Azhar, maksud al-Qawiy adalah orang yang kuat dan al-Amin adalah orang yang boleh dipercayai.

Dalam konteks membangunkan modal insan, gabungan antara al-Qawiy dan al-Amin bolehlah disenergikan sebagai integriti. Ini bermaksud modal insan yang baik, berkualiti dan cemerlang perlu memiliki kedua-dua ciri tersebut.

Raikan Syawal dengan kekuatan

Menghadapi Syawal pada tahun ini memerlukan semangat al-Qawiy dan al-Amin yang tinggi berasaskan kepada beberapa ciri yang telah digariskan. Syawal kali ini memerlukan kekuatan (al-Qawiy) yang perlu dilihat secara holistik merangkumi aspek zahir dan batin atau dari segi fizikal dan mental. Ini kerana sambutan Syawal ini amat berbeza dengan sambutan sebelum ini dek kerana COVID-19.

Aspek rohani boleh dianalogikan sebagai unsur software manakala unsur fizikal pula sebagai hardware. Manakala al-Amin pula sebagai kota pertahanan (castle) yang menjadi perisai seseorang bagi mengawal dirinya daripada amalan yang tercela. Kombinasi unsur software, hardware dan castle akan melahirkan modal insan yang efisien, sanggup bekorban dan cerdas serta boleh dipercayai dalam merayakan Syawal ini melalui pendekatan baru.

Perkara tersebut jika disesuaikan dengan Syawal tahun ini, memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Ini kerana ruang untuk berkumpul bersama-sama dan mengamalkan normal yang biasa kita lakukan saban tahun tidak dapat dilakukan. Ia memerlukan sifat al-Amin (berintegriti dan amanah) ke atas diri kita kerana pihak berkuasa seperti polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan mampu untuk menguatkuasakan undang-undang secara menyeluruh atas pelbagai kekangan.

Oleh yang demikian, ia memerlukan sokongan padu dari semua pihak terutama rakyat di segenap pelusuk negara. Tanggungjawab kitalah untuk menjaga diri kita.

Antara langkah yang boleh dilakukan oleh masyarakat kita bagi merayakan Syawal berkonsepkan semangat al-Qawiy dan al-Amin adalah dengan tidak merayakan secara beramai-ramai, cukuplah sekadar ahli keluarga yang berada di dalam rumah sahaja. Semangat al-Qawiy (kekuatan) dalam diri amat penting bagi mengawal keinginan untuk tidak bertandang dan berziarah. Semangat al-Amin pula perlu wujud bagi memastikan kita menjaga diri dan keluarga daripada menjadi pencetus kepada penularan COVID-19.

Kesimpulannya, sambutan Aidilfitri memang berkait rapat dengan ibadat kerana kemuliaan hubungannya dengan Allah dan keakraban hubungannya dalam konteks insani. Namun pada saat ini, memastikan kesinambungan kehidupan ummah bagi meneruskan pelaksanaan syariah di muka bumi ini perlu diberi keutamaan.

Bersama-samalah kita menyambut syawal ini dengan semangat al-Qawiy dan al-Amin.

--BERNAMA

Hajah Hakimah Yusof merupakan Timbalan Ketua Pengarah [Dasar] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan