NOTA KAMPUS

MEMANFAATKAN E-PEMBELAJARAN KETIKA PANDEMIK COVID-19

22/05/2020 02:51 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts. Dr. Hafiza Abas

Sebelum wujudnya pembelajaran dalam talian atau e-pembelajaran, pembelajaran jarak jauh yang terkenal ialah pembelajaran secara pos seperti Maktab Adabi Gaya pos. Pembelajaran ini menawarkan pakej berupa nota dan contoh soalan serta soalan ramalan kepada para pelajarnya.

Namun, semenjak kewujudan teknologi maklumat, e-pembelajaran menjadi alternatif kepada pembelajaran jarak jauh. Pembelajaran dalam talian lebih menarik kerana ianya berbentuk multimedia iaitu gabungan teks, grafik, bunyi, video dan animasi. Ia juga boleh dilaksanakan secara interaktif dan masa sebenar.

E-pembelajaran atau ‘e-learning’ yang juga dikenali sebagai pembelajaran maya telah bermula sejak 1999. Namun, ia lambat berkembang di Malaysia atas beberapa faktor seperti masalah teknikal, talian yang tersangkut-sangkut, kawasan yang tiada capaian, kandungan pembelajaran yang kurang menarik dan bahan pengajaran yang terhad juga kesediaan dan kesedaran pengguna terhadap teknologi baharu.

Tambahan lagi tiada arahan daripada guru, majikan atau pihak atasan yang mewajibkan penggunaan e-pembelajaran.

Pembangunan Prasarana Tingkat Kesediaan

Kini telah banyak perubahan yang berlaku ke atas e-pembelajaran. Prasarana internet telah ditambah baik dari semasa ke semasa.

Selain daripada prasarana yang merupakan tulang belakang dan faktor untuk menjayakan penggunaan e-pembelajaran, aplikasi, kaedah pembelajaran dan proses pengendalian e-pembelajaran juga turut memberi sumbangan kepada faktor kejayaan sesebuah laman atau aplikasi e-pembelajaran.

Dengan penularan virus COVID-19, pergerakan manusia menjadi semakin terhad, tidak boleh bersentuhan dan berdekatan kerana boleh menyebabkan jangkitan.

Namun, proses pengajaran dan pembelajaran pada peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi tetap terus berjalan. Begitu juga dengan para pekerja sektor awam mahupun swasta, proses latihan dan kursus tetap diteruskan.

Pelaksanaan e-pembelajaran wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan keterbatasan pergerakan dan hubungan pada musim pandemik COVID-19.

Ubah Landskap Pembelajaran

Antara manfaat yang diperoleh dalam pembelajaran kaedah ini adalah, pertama kandungan e-pembelajaran banyak tersedia sama ada secara percuma mahupun berbayar.

Bahkan pengguna juga memperoleh sijil daripada universiti atau syarikat terkemuka dunia dengan menyiapkan tugasan tertentu dan membayar sedikit yuran. Terdapat pelbagai laman web yang menyediakan kandungan pembelajaran percuma antaranya Udemy, Khan Academy, EdX, Coursera dan YouTube.

Manfaat kedua ialah platform percuma. Platform merupakan tempat untuk pengajar atau pakar menularkan e-kandungan kepada pengguna dan pengguna mencari bahan pelajaran dan kemahiran.

Antara platform percuma untuk menyediakan e-pembelajaran ialah YouTube berbentuk video, Slide Share berbentuk slaid, Edmodo dan Google Classroom untuk menguruskan kelas maya, Apple e-book berbentuk buku elektronik dan buku audio, Podcast untuk audio dan TedTalk berbentuk ceramah.

Namun terdapat juga platform yang menyediakan e-pembelajaran dengan mengenakan sedikit bayaran seperti OSEM. OSEM menyediakan kandungan semua mata pelajaran daripada darjah satu hingga tingkatan lima mengikut silibus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Manfaat ketiga ialah aplikasi pada PlayStore dan Apps Store menyediakan pelbagai aplikasi pembelajaran, baik untuk kanak-kanak mahupun dewasa.

Tidak Terikat

Seterusnya, manfaat keempat, dengan e-pembelajaran pengguna boleh memilih masa yang sesuai dan terbaik untuk belajar. Tidak perlu terikat dengan masa dan tempat. Ia fleksibel.

Manfaat kelima, pengguna atau pelajar boleh mengulang kaji dan memahami mata pelajaran dengan menonton video secara berulang kali. Ia mengikut tahap keupayaan kognitif dan tahap kesukaran mata pelajaran atau kemahiran yang dipilih oleh pengguna.

Manfaat keenam ialah penjimatan kos pengangkutan, kos penyewaan ruang dan kos yuran juga merupakan manfaat untuk e-pembelajaran. Peserta tidak perlu berpenat lelah untuk menghadiri seminar di hotel-hotel ternama yang tentunya mengenakan yuran yang mahal.

Akhirnya, pakar-pakar motivasi, pakar ekonomi, pakar saham, pakar agama, pakar masakan dan pensyarah juga turut memberi kuliah secara langsung dan percuma di laman Facebook, Instagram dan YouTube Live.

Jadi rebutlah peluang untuk belajar dan menambah ilmu pada musim pandemik Covid-19 dengan pelbagai kemudahan dan manfaat yang sedia ada. Tetapkan matlamat, tinggikan tahap motivasi diri, teknologi dan komunikasi untuk mendapat manfaat sebaiknya.

-- BERNAMA

Ts. Dr. Hafiza Abas merupakan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)