SUKAN > BERITA

Nadia Brian Ramal JDT Menang 4-0, Sifatkan Final Piala Malaysia Medan Penyatuan Rakyat

23/05/2026 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pelakon terkenal Nadia Brian yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kemeriahan final Piala Malaysia 2025-2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini, meramalkan pasukan kegemarannya Johor Darul Ta’zim (JDT) menang besar 4-0 ke atas Kuching City FC.

Sebagaimana penyokong kedua-dua belah pasukan, Nadia juga sangat teruja untuk menyaksikan pertembungan kemuncak itu, selain menganggap perlawanan tersebut sebagai medan terbaik dalam menyatukan rakyat Malaysia. 

Beliau berkata bola sepak mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menghimpunkan peminat sukan itu dalam semangat kebersamaan yang harmoni.

“Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia kerana bola sepak sebenarnya menyatupadukan kita bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di pekarangan stadium.

Dalam pada itu, pelakon itu turut menitipkan pesanan agar penyokong yang membanjiri stadium mengekalkan disiplin dan mengelakkan sebarang provokasi melampau demi menjaga imej sukan negara.

“Harapan saya untuk malam ini, kita semua tidak perlulah bergaduh kerana kita tetap satu sebagai rakyat Malaysia. Kita hanya perlu bergembira dan menikmati perlawanan ini, menang atau kalah itu adat dalam pertandingan,” katanya.

Selain kelibat selebriti, kehangatan final kali ini turut dirasai menerusi kehadiran rombongan besar penyokong dari selatan tanah air demi memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Tuminah Maskan, 51, menyertai rombongan tiga bas yang membawa penyokong dari pelbagai daerah di Johor seperti Muar, Segamat, Kota Tinggi, Masai dan Batu Pahat dengan kapasiti penuh 48 penumpang bagi setiap bas.

“Kalau final melibatkan JDT, memang kami akan pergi. Saya mula menjadi penyokong setia sejak final menentang Selangor FC pada 2017 dan sejak itu saya tidak pernah melepaskan peluang hadir ke stadium setiap kali pasukan beraksi di pentas akhir.

“Tiada istilah jemu. Kita kena beri semangat kepada pasukan agar tidak memberi peluang kepada pasukan lain untuk menang,” katanya.

Pertembungan malam ini menyaksikan JDT berusaha mempertahankan kejuaraan, manakala Kuching City pula menggalas misi mencipta kejutan dalam sejarah kelab di pentas final.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan