KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini sedang menunggu maklum balas daripada pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berhubung penyertaan mereka dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei berkata jemputan rasmi bagi menyertai kem latihan pusat badan induk itu turut dihantar kepada seorang lagi pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin.
"Sejak Disember tahun lepas, saya dan barisan kejurulatihan sudah berbincang untuk membuat persiapan awal. Kita akan pilih pemain yang benar-benar berada pada tahap terbaik bagi persiapan kali ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau ditemui selepas lawatan Penaung BAM yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.
Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Chong Wei memaklumkan skuad negara akan berlepas lebih awal ke Denmark bagi menjalani kem latihan selama 10 hari sebagai fasa persediaan terakhir termasuk penyesuaian cuaca di sana.
"Kita mahu buat persiapan rapi, sebab itu kita akan pergi awal untuk kem latihan di sana. Sasaran kita tetap sama iaitu muncul juara," katanya.
Dalam pada itu, Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata misi memburu kejuaraan berprestij itu selari dengan perancangan jangka panjang badan induk berkenaan di bawah program 'Tangkis 2030'.
Beliau berkata meskipun menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi, namun keberanian untuk menetapkan sasaran tinggi adalah perlu dalam apa jua jenis sukan.
Kali terakhir Malaysia menjulang trofi berprestij itu adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
“Apa yang kita tidak mahu ialah mencari alasan. Saya optimis kita mempunyai pemain, jurulatih dan kepimpinan untuk menjayakannya. Ini peluang kita dan kita mesti percaya kita boleh menang," katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial