SUKAN > BERITA

ACL Elite: JDT, Shanghai Port Terikat Tanpa Jaringan

09/12/2025 11:14 PM

ISKANDAR PUTERI, 9 Dis (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) sekadar seri tanpa jaringan dengan kelab dari China Shanghai Port FC pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Skuad Harimau Selatan yang dibimbing Cisco Munoz mendominasi hampir keseluruhan permainan namun setiap percubaan tidak berjaya membuahkan hasil.

JDT menggempur kubu pasukan lawan sepanjang lima minit pertama permainan dan hampir memperoleh gol pertama menerusi percubaan Bergson Da Silva, namun rembatan pemain itu berjaya diselamatkan penjaga gol, sebelum tendangan Jonathan Da Silva pula tersasar beberapa minit selepas itu.

JDT yang melancarkan serangan bertali arus ke gawang pasukan lawan dan mencipta 19 percubaan namun semuanya gagal disempurnakan.

Penjaga gol Shanghai Port Chen Wei beraksi cemerlang untuk menafikan hampir enam ancaman tepat pada babak pertama, sekali gus membentuk ‘tembok besar China’ di hadapan gawang mereka.

Meskipun Shanghai Port hanya mencipta empat percubaan, mereka berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi dan keputusan itu sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan menajamkan asakan, namun JDT masih gagal mencipta gol hasil kekebalan benteng pertahanan Shanghai Port.

Peluang keemasan JDT hadir pada minit ke-63 tetapi bercubaan Bergson sekadar menerjah palang gol manakala percubaan Nacho Mendez pada minit ke-73 pula mengenai tiang gol.

Sepanjang perlawanan itu, skuad Harimau Selatan melakukan 47 percubaan dan 11 percubaan tepat ke pintu gol Shanghai Port namun keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan