SUKAN > BERITA

Pencalonan Arif Aiman Bukti Malaysia Masih Miliki Permata Bola Sepak Asia

26/09/2025 06:24 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif 

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Pencalonan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi bagi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bukan sekadar kejayaan individu, sebaliknya bukti Malaysia masih memiliki permata di pentas bola sepak benua.

Legenda bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin Hassan berkata selepas sekian lama tanpa pengiktirafan di peringkat tertinggi, pencalonan itu membuka mata kuasa besar Asia bahawa Malaysia tetap berupaya melahirkan bakat berkualiti biarpun persaingan semakin sengit.

Beliau yang pernah tersenarai dalam Asian All Stars pada Anugerah AFC 1982 dan 1985 percaya kejayaan itu akan menjadi inspirasi buat generasi muda.

“Selepas era Datuk Soh (Soh Chin Aun), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan saya sendiri, akhirnya pencalonan seperti ini kembali semula. Ini satu kebanggaan kerana bola sepak Asia sudah jauh meningkat, namun kita masih mempunyai permata terbaik di rantau ini.

“Dia (Arif Aiman) akan jadi ikon untuk pemain muda. Mereka akan kata ‘saya mahu jadi seperti Arif Aiman’, sama seperti saya dahulu mahu jadi seperti Mokhtar. Inilah dorongan untuk bola sepak kita bergerak ke hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut mengakui peranan pengurusan JDT khususnya pemilik kelab Tunku Mahkota Ismail yang konsisten menyediakan platform terbaik sehingga bakat Arif Aiman digilap ke tahap tertinggi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin berkata pencalonan pemain berusia 23 tahun itu membuktikan keberkesanan pembangunan sistematik.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Sains Sukan dan Penganalisis Prestasi Sabah FC (2021-2023) menjelaskan, dari sudut sains sukan, pencalonan tersebut menunjukkan latihan berstruktur, pendedahan kompetitif dan sokongan sains prestasi mampu membawa pemain ke tahap Asia.

“Arif Aiman adalah hasil ekosistem yang konsisten, dari akademi hingga kelab profesional. Ini bukan kebetulan, sebaliknya bukti bahawa kita mampu menghasilkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan ini perlu menjadi pemangkin. Malaysia mesti melahirkan lebih ramai Arif Aiman dengan sokongan sains sukan, psikologi prestasi dan pendedahan antarabangsa yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pencalonan Arif Aiman sebagai pengiktirafan besar buat bola sepak negara yang bakal membawa impak positif.

“Ini menjadi pembuka jalan kepada pasukan pencari bakat untuk melihat Malaysia sebagai destinasi baharu. Impaknya pasti lebih kuat jika Arif Aiman menang. Secara keseluruhan imej JDT juga akan bertambah masyhur dan nama Malaysia akan mula mendapat perhatian Asia serta dunia,” katanya.

Semalam, AFC mengumumkan Arif Aiman antara tiga calon utama bagi Pemain Terbaik Tahunan AFC pada Majlis Anugerah AFC 2025 yang dijadual berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bulan depan, menjadikannya pemain Malaysia pertama dicalonkan.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan itu akan bersaing dengan dua bintang Asia iaitu pemenang dua kali dan pemenang Kasut Emas Piala Asia 2023, Akram Afif dari Qatar serta penyerang Al-Hilal, Salem Al-Dawsari dari Arab Saudi.

Musim lalu, Arif Aiman yang juga produk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) menjaringkan lima gol dan membantu JDT mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elite, selain membantu skuad Harimau Selatan meraih kejuaraan treble dalam saingan Liga Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan