Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
MULHEIM AN DER RUHR (Jerman), 18 Julai (Bernama) -- Seperti diramal, Malaysia tidak berdepan masalah menewaskan Kanada dalam aksi tunggal Kumpulan D acara badminton berpasukan campuran pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Westenergie Sporthalle di sini, hari ini.
Mata pertama Malaysia hadir menerusi beregu lelaki Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Bryan Jeremy Goonting yang menewaskan Nathan Mills-Harold Tan 15-10, 15-5 dalam tempoh 16 minit.
Rentak kemenangan itu diteruskan perseorangan wanita Wong Ling Ching apabila menundukkan Alena Yu 15-10, 15-8.
Perseorangan lelaki Jacky Kok Jing Hong menghadiahkan mata kemenangan skuad negara namun terlebih dahulu terpaksa bekerja keras sebelum bangkit mengatasi Victor Lai 6-15, 15-8, 15-12.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih yang bagi saya peluang untuk turun bermain, lawan saya hari ini bukan mudah, dia melakukan beberapa kejutan dalam kejohanan terakhir iaitu di Terbuka Kanada (awal bulan ini) tetapi saya tetap rasa bersemangat untuk beraksi.
“Secara keseluruhan semua pemain telah memberikan yang terbaik, kita dapat lihat pemain yang berada di luar gelanggang memberikan sokongan dan pemain yang sedang bermain buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Turut beraksi bagi melengkapkan pertembungan hari ini adalah beregu wanita Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan yang menumpaskan Sophia Nong-Eliana Zhang 15-3, 15-10 sementara dalam aksi beregu campuran Liew Xun-Vannee Gobi tewas di tangan Timothy Lock-Chloe Hoang 11-15, 9-15.
Sebagai rekod, Malaysia diundi hanya bersama Kanada dalam aksi peringkat kumpulan.
Undian baharu akan dijalankan bagi menentukan lawan setiap negara pada aksi pusingan 16 terbaik dengan separuh daripada perlawanan akan berlangsung malam ini (awal pagi Sabtu waktu Malaysia) sementara baki saingan akan bersambung esok.
“Selaku juara kumpulan kita akan bertemu naib juara kumpulan tetapi bukan lawan sama. Contoh jika bertemu Kanada undian akan dibuat sekali lagi.
“Aksi hari ini kebanyakan atlet dilihat masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan lapangan, sebab daripada segi emosi ketika perlawanan (match temperament) tak berapa stabil, harap akan jadi lebih baik dalam aksi selepas ini,” kata ketua jurulatih skuad badminton Datuk Rashid Sidek.
Sementara itu, jaguh renang negara Khiew Hoe Yean meneruskan momentum cemerlang selepas melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki pada aksi di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark di Berlin.
Hoe Yean yang masih segar dengan kejayaan merangkul perak dalam acara 400m gaya bebas semalam, menamatkan saringan enam di tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 48.68 saat (s).
Perenang Amerika Syarikat Baylor William Nelson meraih tempat kedua dengan catatan 1:47.67s di belakang Kaique Kauan De Morais Alves dari Brazil yang menjuarai perlumbaan selepas merakam masa 1:47.39s.
Mengikuti jejak langkah Hoe Yean ke separuh akhir adalah rakan sepasukan Arvin Shaun Singh Chahal selepas menamatkan saringan lapan di tempat keenam dengan catatan 1:49.66s.
Aksi separuh akhir dijadual berlangsung pada sebelah malam (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial