SUKAN > BERITA

Sepuluh Program Rakan Muda Turun Kampus Dilaksana Sepanjang 2025 - KBS

15/07/2025 09:10 PM

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan 10 Program Rakan Muda Turun Kampus sepanjang tahun ini dengan jangkaan melibatkan 5,000 pelajar di seluruh negara.

KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia adalah program khusus yang membolehkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menyampaikan aspirasi, pandangan dan idea tentang pembangunan belia dan sukan secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian.

“Inisiatif ini selari dengan nilai teras Keyakinan dan Ihsan di bawah konsep Malaysia MADANI yang menekankan harapan dan kepentingan mendengar suara belia, menyantuni keperluan mereka serta memberi ruang untuk mereka menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat memperkukuh identiti dan perpaduan dalam kalangan pelajar IPT, membina jaringan kerjasama merentas institusi dan mendapatkan input secara langsung dalam usaha KBS merangka strategi pemerkasaan program belia,” menurut kenyataan itu.

Menurut KBS, program itu juga disemarakkan dengan aktiviti interaktif oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

Antara objektif program ini adalah untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar, inisiatif dan tindakan yang diambil oleh kerajaan terutamanya melibatkan pembangunan belia dan sukan.

Ia juga bagi memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan pandangan berkaitan isu-isu pembangunan belia dan sukan serta menyantuni belia di IPT bagi memperluaskan pelaksanaan Gaya Hidup Rakan Demokrasi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menghadiri Program Rakan Muda Turun Kampus siri kelima bagi 2025 di Han Chiang University College of Communication (HCUC) di sini dan dihadiri Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Daniel Gooi Zi Sen.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan