SUKAN > BERITA

CG Esports Impi Ke Grand Final MPL My Musim Depan

05/07/2025 03:51 PM

PETALING JAYA, 5 Julai (Bernama) -- Pendatang baharu CG Esports mengintai peluang mara ke grand final Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL MY) musim ke-16 yang dijadualkan pada September ini.

Pemilik CG Esports CikuGais atau nama sebenar Muhammad Danial Mohamad Fuad berkata mereka sememangnya menyasarkan slot ke grand final bagi mencerahkan peluang mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia MLBB M7 di Indonesia pada Januari depan.

Beliau berkata sasaran ke grand final MPL MY musim depan tidak mustahil dicapai memandangkan rata-rata ahli pasukan itu dibarisi pemain berpengalaman yang pernah beraksi bersama pasukan lain sebelum ini.

“Kita akan berlatih lebih lagi sebab memang sasar ke Kejohanan Dunia MLBB M7 tahun depan. Kebanyakan ahli pasukan saya tidak pernah bermain di peringkat antarabangsa.

“Jadi, saya mahu buktikan, meskipun pasukan baharu kami mampu mara ke M7 dan beri saingan sengit di MPL MY musim depan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Royale Chulan Gaming Arena (RCG) di sini hari ini.

Sementara itu, pemain yang beraksi di posisi ‘Gold Lane’ itu turut memaklumkan pasukan berkenaan dijangka membuat rombakan kecil dengan membawa masuk sekurang-kurangnya dua pemain bagi menghadapi musim baharu MPL MY.

Beliau berkata dua pemain yang telah beraksi musim lepas iaitu pemain pinjaman Deee atau Dhiwa Zulpiqar akan kembali ke pasukan asal Todak, manakala Martzy atau Ammar Asyraf Abd Rahman tidak dapat bermain dan mahu fokus dalam bidang pengajian.

CG Esports mengesahkan slot ke MPL MY musim ke-16 selepas muncul juara kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Academy League (MAL) musim ketiga dengan membelasah GamesMY Kelantan (GMXK) 4-0 pada aksi final baru-baru ini.

Dalam pada itu, CikuGais bersyukur dan terharu apabila pihak hotel Royale Chulan Damansara membina RCG yang juga tempat latihan rasmi mereka selepas ini.

“Saya tidak percaya kerana walaupun baharu, ada pihak sudi berkolaborasi dengan kami. Kami akan guna sehabis baik untuk berlatih bagi MPL MY,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan