KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berjaya menamatkan perlumbaan 24 Jam Spa-Francorchamps di Belgium bersama pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).
Kedua-dua anakanda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bersama pelumba Britain Alexander Sims dan pelumba Australia Jordan Love yang memandu jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R pasukan itu, menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dalam kelas Piala Gangsa dan ke-43 keseluruhan daripada 74 jentera yang bertanding.
Walaupun menghadapi masalah mekanikal pada awal perlumbaan yang memaksa mereka memulakan cabaran dari lorong pit dan ketinggalan enam pusingan, pasukan itu bangkit dengan cemerlang dalam tempoh 24 jam, dengan melengkapkan 527 pusingan dan 27 hentian pit di litar legenda Spa-Francorchamps.
Tunku Abdul Rahman berkata keputusan itu mencerminkan semangat juang dan kemajuan pasukan.
“Menamatkan perlumbaan 24 jam adalah satu pencapaian yang hebat dan bukannya sesuatu yang mudah. Kami berdepan beberapa halangan pada permulaan, tetapi saya sangat berbangga dengan pasukan kerana kekal fokus dan bekerja tanpa henti.
“Ini adalah kali pertama kami berlumba di sini dengan jentera Corvette dan melihat kedua-dua jentera berjaya menamatkan perlumbaan adalah detik yang membanggakan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan JMR hari ini.
Tunku Abdul Rahman berkata pasukan itu kini akan memberikan tumpuan pada saingan GT Dunia Cabaran Asia di Jepun bulan dengan, dengan sasaran mengekalkan kedudukan pendahulu dalam carta Pro-Am.
Sementara itu, Tunku Abu Bakar berkata perlumbaan itu memberikan pengalaman yang berharga kepada pasukan dan membuktikan kepentingan membangunkan bakat sukan permotoran tempatan.
“Ini tahun pertama kami beroperasi sebagai pasukan bebas dan kami bangga mempunyai kru rakyat Malaysia bersama kami. Kami ingin memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat di tanah air dan membantu mereka menembusi peringkat antarabangsa bersama kami.
“Ia bukan sekadar soal menaiki podium tetapi membawa semua orang bersama dalam perjalanan ini,” katanya.
JMR akan kembali beraksi di Litar Fuji Speedway, Jepun dari 11 hingga 13 Julai ini bagi pusingan ketujuh dan kelapan GT Dunia Cabaran Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial