SUKAN > BERITA

Sze Fei-Nur Izzuddin Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Singapura

28/05/2025 09:44 PM

SINGAPURA, 28 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memulakan kempen Terbuka Singapura dengan langkah kanan selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang Jen, hari ini.

Dalam aksi pusingan pertama di Stadium Tertutup di sini, pasangan profesional negara itu hanya memerlukan 32 minit untuk mencatat kemenangan selesa 21-13, 21-11 di depan penyokong Malaysia yang memenuhi arena.

Sze Fei berkata persefahaman yang baik sepanjang permainan menjadi kunci kemenangan dan kini tumpuan beralih kepada pertemuan dengan rakan senegara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang sebelum itu menyingkirkan gandingan Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi 21-13, 21-18 dalam masa 36 minit.

Ketika ditanya sama ada kedudukan ranking tertinggi memberi motivasi tambahan, Nur Izzuddin berkata baginya ia "sekadar angka".

“Kami sentiasa fokus untuk memperbaiki permainan. Kami memang ada sasaran tetapi yang penting kami mahu menikmati setiap perlawanan,” kata Sze Fei.

Sementara itu, beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, 21-19, 24-22 dalam masa 48 minit.

Ia kemenangan kedua berturut-turut ke atas pasangan ranking ke-16 dunia itu selepas aksi suku akhir Masters Malaysia minggu lalu.

Wooi Yik mengakui mereka melakukan beberapa kesilapan di set kedua namun tetap bangkit memastikan kemenangan.

Aaron pula menegaskan dua aksi final berturut-turut di Terbuka Thailand dan Masters Malaysia tidak menjejaskan prestasi mereka, malah berharap momentum positif itu diteruskan di sini.

Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang baru dinobatkan juara Masters Malaysia turut tampil bergaya apabila menewaskan pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-18, 21-19.

Wei Chong berkata kemenangan di kejohanan lalu meningkatkan keyakinan mereka dan memberikan suntikan semangat untuk menampilkan aksi terbaik hari ini.

“Kami bermain dengan baik, cuma terlepas enam mata penamat dalam set kedua kerana kami sedikit perlahan dan lawan berjaya menyamakan kedudukan,” ujarnya sambil menambah mereka akan terus fokus dan menikmati perlawanan seterusnya menentang Huang Di-Liu Yang dari China.

Dalam acara beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-16, 21-18 dalam masa 33 minit.

Thinaah mengakui tidak berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan mereka, namun tetap optimis mampu memperbaiki permainan menjelang aksi esok.

“Kesilapan sendiri agak banyak daripada kedua-dua kami, tetapi kami tetap berpegang pada strategi dan saling memberi semangat sepanjang perlawanan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum itu, pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao menerima laluan percuma ke pusingan kedua selepas lawannya dari China, Lei Lan Xi menarik diri.

Selepas ini, pemain ranking ke-25 dunia itu bakal berdepan pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Jonathan Christie bagi perebutan tempat ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 750 itu.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu lelaki Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang tersingkir selepas tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-16, 21-13.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan