SUKAN > BERITA

PARA SUKMA 2024: MPM SASAR SIFAR MASALAH KLASIFIKASI

21/04/2024 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk membasmi masalah klasifikasi bagi atlet paralimpik pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, 20 hingga 29 Sept ini di Kuching, Sarawak.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata hal itu bertujuan mengelakkan atlet tidak dapat bertanding di temasya tersebut kerana masalah klasifikasi.

"Kita menyasarkan sifar masalah klasifikasi semasa di Kuching kerana kita mahu pastikan semasa temasya berlangsung, tiada atlet yang tidak kesampaian untuk bertanding, jadi kita mahu semua atlet untuk melakukan klasifikasi di negeri masing-masing mengikut segala prosedur dan klasifikasi yang ditetapkan oleh ketua klasifikasi setiap negeri.

"Kita tidak mahu membazir masa dan wang dan kita nak pastikan hanya atlet yang layak sahaja untuk pergi (Para SUKMA 2024)," katanya selepas merasmikan majlis penutup Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau menambah proses klasifikasi tersebut dapat menaikkan martabat Sukan Para SUKMA seperti temasya sukan antarabangsa yang lain iaitu tiada klasifikasi dibuat semasa temasya berlangsung.

Sementara itu, seramai 139 peserta dari semua negeri menyertai Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Klasifikasi Para SUKMA berkata kursus itu bagi melatih peserta dalam proses klasifikasi bagi memudahkan proses tersebut dijalankan di negeri masing-masing sebelum temasya Sukan Para SUKMA 2024 bermula.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) berkata tiada masalah sekiranya atlet tersebut mahu mewakili negeri selain negeri kelahiran mereka.

"Jika dia nak wakil negeri lain tiada isu, yang penting klasifikasi telah dibuat untuk kurangkan risiko berlaku kesilapan. Jika atlet telah melaksanakan klasifikasi di peringkat negeri, bermakna yang datang ke Sarawak itu memang boleh bertanding (Sukan Para SUKMA)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan