SUKAN > BERITA

PERAK TAGIH SENTUHAN PENYERANG IMPORT PERKUAT JENTERA SERANGAN

21/04/2024 10:03 AM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Penyerang import baharu yang dijangka tiba minggu hadapan diharap segera menyesuakan diri bersama pasukan Perak FC sebelum sepak mula aksi Liga Super pada awal Mei ini.

Ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berkata ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi penyerang berkenaan memandangkan tempoh yang ada untuk melakukan persediaan berbaki kurang tiga minggu.

“Saya harap dia (penyerang) dapat menyesuaikan diri dengan segera kerana posisi itu amat penting selain menjadi antara penentu kepada prestasi pasukan,” katanya ketika ditemui di Stadium Perak selepas perlawanan persahabatan pramusim menentang Selangor FC malam tadi.

Sebelum ini, desas desus mengatakan The Bos Gaurus bakal mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Colombia Wilmar Jordan yang kini beraksi di saingan Liga Super India bersama Punjab FC.

Untuk rekod, penyerang berusia 33 tahun itu telah meledak 97 gol dan 22 bantuan jaringan sepanjang 260 penampilannya.

Sementara itu, mengenai aksi persahabatan malam tadi yang menyaksikan tuan rumah tewas 2-3, Yusri berkata masih terdapat kesilapan mudah yang dilakukan pemain.

“Para pemain perlu jaga momentum dan fokus dalam 90 minit permainan. Perkara ini amat penting dan akan menjadi  antara penentu dalam menentukan nasib pasukan,” katanya.

Pada aksi malam tadi, jaringan Perak dihasilkan menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-31 dan Lee Tae Min (89) manakala gol anak buah Nidzam Jamil diperoleh menerusi jaringan Alvin Fortes (49), Faisal Halim (54) dan Yohandry Orozco (77)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan