SUKAN

HOKI: KEAZAMAN BANTU CHE SHAHRUL ATASI PERASAAN UNTUK BERSARA AWAL

16/04/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Keazaman dan keyakinan tinggi berjaya membantu penjaga gol muda Che Shahrul Azmi Che Saufi mengatasi perasaannya untuk bersara awal, sehingga mendapat panggilan ke kem latihan skuad Speedy Tigers.

Pemain berusia 23 tahun berasal dari Negeri Sembilan itu, mendedahkan bahawa beliau pernah berasa berputus asa selepas tidak mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan selepas kejayaan membantu skuad hoki 5-sebelah (Hoki 5s) bawah-18 tahun negara merangkul pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina.

“Memang dah nak putus asa, tetapi saya tahu mana standard saya, jadi cuba bangun untuk kejohanan-kejohanan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Berpegang kepada keazaman itu, Che Shahrul meneruskan minatnya sehingga membantu Malaysia meraih pingat perak Piala Dunia Hoki 5s di Oman pada awal tahun ini, selain mempamerkan aksi baik pada debut Liga Hoki Malaysia 2024 untuk membantu Nurinsafi menamatkan saingan di tempat keempat.

Kerja keras beliau itu berjaya menambat hati pengendali, Sarjit Singh untuk memanggilnya menyertai kem latihan Speedy Tigers pada bulan lepas.

Berkongsi mengenai cabaran berbeza dalam hoki 5s dan hoki padang, Che Shahrul berkata sebagai penjaga gol, teknik asas menjadi perkara paling utama dalam kedua-dua disiplin itu.

“Bagi hoki 5s ada board (di sekeliling padang), jadi susah untuk kita nak jangka bola itu macam mana. Tetapi hoki padang tiada board, kita (ada masa untuk) bertindak, boleh banyakkan gerakan,” jelasnya. 

Walaupun ini kali pertama beliau mendapat panggilan ke skuad latihan senior, namun Che Shahrul percaya boleh dipilih dalam senarai 18 pemain terakhir untuk skuad Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 4-11 Mei ini, daripada 30 pemain yang berada di kem latihan sekarang.

Beliau kini berdepan saingan daripada pemain berpengalaman seperti Muhammad Hafizuddin Othman, Muhamad Zaimi Mat Deris dan Adrian Andy Albert bagi merebut dua posisi bagi penjaga gol untuk kejohanan jemputan itu.

Sarjit akan mengumumkan skuad untuk mempertahankan Piala Sultan Azlan Shah pada 1 Mei ini, selepas aksi persahabatan menentang New Zealand di Ipoh. 

Malaysia yang berada pada ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan