SUKAN

PIALA ASIA B-23 : MALAYSIA MAHU CIPTA KEMENANGAN WALAUPUN DILABEL BUKAN PILIHAN - JUAN TORRES

16/04/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Keyakinan pemain pasukan bawah 23 Kebangsaan (B-23) untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar esok masih utuh, walaupun dilabelkan sebagai pasukan bukan pilihan.

Ketua Jurulatih B-23 negara Juan Torres Garrido berkata Uzbekistan mungkin diketahui sebagai pasukan yang kuat dan pilihan untuk kempen kali ini, namun anak buahnya bersedia untuk berhadapan dengan pasukan itu.

“Kami tahu berhadapan lawan ini suatu yang mencabar, tetapi kami kini dalam semangat terbaik selepas menjalani sesi latihan yang panjang.

“Jadi kami gembira berada di sini (kempen B-23), mewakili Malaysia dan teruja untuk memperbaiki keputusan-keputusan sebelum ini,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Harimau Muda yang berada dalam Kumpulan D, akan memulakan kempennya bertemu Uzbekistan esok, sebelum dijadualkan berhadapan Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).

Ini merupakan kali ketiga Malaysia layak ke Piala Asia B-23 selepas melakukan pada 2018 dan 2022. Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah pada 2018 di bawah Datuk Ong Kim Swee, apabila mereka layak ke suku akhir.

Piala Asia B-23 bermula semalam (15 April) hingga 3 Mei di Doha, Qatar.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan