SUKAN

PIALA THOMAS: ZII JIA IKUTI PROGRAM LATIHAN BERSAMA TAT MENG

16/04/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia akan meneruskan program latihan yang telah dirancang oleh Pengarah Kejurulatihan TeamLZJ, Wong Tat Meng, dalam persediaan menghadapi Piala Thomas 2024 di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.

TeamLZJ dalam kenyataan di akaun X hari ini memaklumkan program latihan bebas luar daripada skuad kebangsaan telah dibincangkan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mendapat persetujuan daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan Pengarah Pentadbiran ABM Michelle Chai.

Program latihan yang disusun oleh Tat Meng bakal mempersiapkan Zii Jia pada tahap terbaik untuk beraksi pada saingan Piala Thomas dan mengekalkan prestasi bagi menghadapi lima lagi kejohanan berikutnya.

“Kami berterima kasih kepada BAM, Rexy dan Michelle atas persefahaman dan kepercayaan diberikan kepada kami untuk menguruskan pelan latihan dalam jadual kejohanan yang padat menjelang Sukan Olimpik di Paris.

“Zii Jia tidak sabar untuk bersama-sama dengan pasukan negara pada 24 April nanti,”  menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Zii Jia telah memulakan persiapan kempen Piala Thomas pada Isnin selepas tiba di Malaysia pada 14 April lepas, setelah tamat saingan Kejohanan Badminton Asia 2024 baru-baru ini.

Selain Zii Jia, BAM turut menyenaraikan empat pemain perseorangan iaitu Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu pula diketuai juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri.

Sementara itu, Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM Bukit Kiara berkata beliau sudah mengetahui perancangan berkenaan ketika mengadakan pertemuan dengan Team LZJ yang dihadiri Tat Meng dan pengurus Lee Zii Yii, baru-baru ini. 

"Mereka (Tat Meng dan Zii Yii) memaklumkan kepada saya yang mereka hanya ada seminggu untuk melakukan persiapan selepas pulang daripada BAC, jadi kita cuba fikir positif sahaja dengan situasi seperti ini. Jangan sampai situasi itu menjadi sesuatu untuk mencari sebab, ini bukan masa untuk kita mencari (sebab) tinggal tujuh hari. 

"Kita harus fikirkan bagaimana mendapat jalan keluar dalam hal ini kerana Piala Thomas lepas (sebelum ini) tidak ada kena mengena dengan persiapan Olimpik jadi kita kena faham komitmen mereka untuk main. (Jurulatih perseorangan yang ada akreditasi) dan pergi ialah Datuk Tey Seu Bock dan Tat Meng," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Ditanya sama ada pemain akan menjalani latihan kem bina semangat di luar ibu negara, Rexy berkata ia pasti lebih berkesan sekiranya disertai seluruh ahli pasukan berbanding beberapa pemain sahaja dalam mendapatkan rentak permainan berkumpulan. 

Malaysia yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan edisi 2024 itu diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria bagi saingan Piala Thomas. 

Dalam pada itu, Rexy memaklumkan perseorangan profesional wanita negara Goh Jin Wei akan menyertai program latihan di bawah badan induk itu sebagai persiapan ke Piala Uber 2024 namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar naib juara Terbuka Vietnam 2022 akan hadir menjalani latihan di ABM. 

Selain Jin Wei, BAM turut menyenaraikan K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee, Chan Wen Tse bagi saingan wanita yang bakal berdepan tugasan berat apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan