BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
SUKAN

Barisan kejurulatihan baharu skuad B-23 cerminan apa dimiliki skuad Harimau Malaya

06/08/2022 05:08 PM

PETALING JAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak hanya memfokuskan terhadap aspek individu dalam proses menentukan ketua jurulatih baharu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata proses yang diterajui Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell itu juga memberi penekanan dari segi keseluruhan barisan kejurulatihan sama seperti struktur yang dimiliki skuad Harimau Malaya ketika ini.

Menurutnya beliau yakin ketua jurulatih baharu dan barisan teknikalnya yang bakal dilantik mampu menjayakan usaha meningkatkan mutu prestasi pasukan muda negara untuk menjamin kesinambungan pemain berkualiti dalam skuad kebangsaan.

“Setelah berbincang dengan pasukan negara, bahagian teknikal dan exco kita sudah hampir kenal pasti bukan sahaja individu tetapi kami mahukan staf yang baik, sekali. Pengarah Teknikal tengah dalam proses memuktamadkan, hampir 70 hingga 80 peratus,” katanya pada sidang media Kongres FAM Ke-58 di sini, hari ini.

Beliau berkata apa yang bakal diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini adalah keputusan yang dibuat untuk kepentingan bola sepak negara dengan skuad B-23 berdepan jadual pertandingan yang padat tahun depan.

Katanya FAM mahukan Skuad B-23 dan pasukan senior mempunyai hubungan kerjasama yang bagus, sehaluan dan berkongsi ideologi sama.

Justeru, beliau berkata pandangan dan input dari Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Kim Pan Gon turut diambil kira dalam menentukan barisan kejurulatihan skuad B-23.

“Baik. Input dia (Pan Gon) amat baik … sudah tentu dia main peranan yang besar,” katanya.

Jun lepas, Hamidin mendedahkan skuad B-23 bakal melalui perubahan dalam usaha memperkukuhkan pasukan negara kendalian Pan Gon,

Sebulan kemudian, FAM mencapai kata putus untuk melepaskan bekas Ketua Jurulatih skuad B-23 Brad Maloney secara persetujuan bersama kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan