BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
SUKAN

Wushu terus mendominasi pentas AUG

06/08/2022 04:32 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

UBON RATCHATHANI (Thailand), 6 Ogos (Bernama) -- Kem wushu negara membuktikan dominasi ke atas sukan itu kekal milik mereka apabila membawa pulang lima pingat emas sekali gus bergelar juara keseluruhan pada hari terakhir temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) hari ini.

Dalam aksi berlangsung di Menara Sunee di sini, kem wushu melengkapkan kutipan dengan menghadirkan dua lagi pingat emas masing-masing menerusi acara duilian berpasukan lelaki dan duilian berpasukan wanita.

Bagi acara duilian lelaki, Ang Qi Yue dan Chuah Shangyang memastikan emas ke-48 kontinjen negara selepas mencatat 9.61 mata menewaskan wakil Indonesia Harris Horatius, Edgar Xavier Marvelo dan Siregar Serafnaro (9.51 mata) yang memenangi perak, sementara wakil Thailand Joe Saeli dan Pitaya Yanrungrawin (9.2 mata) meraih gangsa.

Acara duilian berpasukan wanita diwakili Loh Ying Ying, Tammy Tan Hui Ling dan Tan Cheong Min menambah keceriaan kontinjen negara dengan koleksi emas ke-49 apabila mencatat 9.23 mata.

Mereka menewaskan wakil Indonesia Eugenia Widodo, Diva Puspa dan Dewi Tasya Ayu yang meraih perak dengan kutipan 9.16 mata, sementara pingat gangsa milik satu lagi pasukan negara Lee Jia Tong, Sydney Chin Sy Xuan dan Mandy Cebelle Chen (9.12 mata).

Sementara itu, pengurus pasukan wushu negara Sharel Rizel Dzahari berkata kejayaan membawa pulang lima emas serta masing-masing tujuh perak dan gangsa adalah antara pencapaian terbaik atlet Malaysia dalam temasya itu.

"Sasaran tiga emas sebelum ini dicapai dengan tambahan dua lagi adalah hasil prestasi atlet yang kekal fokus mengejar tambahan pingat.

"Ini pencapaian terbaik wushu di AUG sepanjang dua kali saya jadi pengurus dengan kesemua atlet berjaya bawa balik pingat," katanya ketika ditemui.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan