BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
SUKAN

Gol tunggal Abdul Latiff bantu Kelantan FC terus kukuhkan dominasi dalam liga

06/08/2022 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kelantan FC terus mendominasi kedudukan teratas Liga Premier dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan selepas menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya yang kali terakhir tewas pada April lepas di tangan Kuching City FC, kini selesa mendahului saingan merebut kejuaraan liga dengan mengumpul 32 mata selepas 13 perlawanan.

Turun dengan formasi 4-3-3 di hadapan penyokong sendiri, Kelantan melancarkan serangan dengan  memberi amaran seawal minit ketujuh menerusi percubaan  Muhaimin  Izuddin Muhamad Asri yang menggegar palang gol.

Pasukan tuan rumah terus menguasai permainan dengan melancarkan siri serangan berbahaya, namun penjaga gol pelawat Al-Iman Wahiey Muhammad Amir bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi sehingga tamat 45 minit pertama.

Bagaimanapun, kekebalan benteng pertahanan Skuad Projek FAM-MSN berjaya ditembusi Kelantan yang akhirnya mendapat gol yang dicari-cari menerusi pemain gantian Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-75 sekali gus menghadiahkan pasukan tiga mata berharga.

Sementara itu, Selangor 2 FC hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang UiTM FC ketika bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam.

Keputusan itu menyaksikan Selangor 2 dan UiTM masing-masing kekal di kedudukan ketujuh dan kelapan liga dengan mengumpul 13 dan 11 mata.

-- BERNAMA


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan