BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
SUKAN

Skuad bola sepak AUG negara terlepas pingat emas

05/08/2022 07:09 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

UBON RATCHATHANI (Thailand), 5 Ogos (Bernama) -- Hasrat skuad bola sepak negara meraih pingat emas di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) tidak kesampaian selepas tewas tipis 1-2 di tangan Thailand  pada aksi final hari ini.

Pada aksi babak pertama di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, skuad kebangsaan lebih menguasai permainan tetapi tiada sebarang cubaan menggegar gawang gol lawan berjaya dihasilkan.

Sebaliknya, Thailand memperoleh jaringan pendahuluan menerusi Chanmunti Kantinan pada minit ke-23.

Skuad negara tersentak dengan gol awal itu bagaimanapun terus dihukum apabila Chanmunti sekali lagi menjaringkan gol kedua di minit akhir sebelum wisel separuh masa pertama ditiup.

Memasuki babak kedua perlawanan, anak buah Ridzuan Abu Shah kemudian mengatur gerak dengan melakukan serangan ke atas kubu lawan namun gagal menterjemahkan sebarang jaringan. 

Gol sagu hati skuad negara hadir pada minit ke-78 perlawanan menerusi Mohamad Syahir  Abdul Rahman dan keputusan itu kekal  sehingga wisel penamat ditiup. 

"Seperti yang dilihat pada permulaan perlawanan tadi nampak permainan sedikit perlahan namun kemudian pihak lawan berjaya menghasilkan gol pertama mereka.

Kita cuba bangkit namun berlaku kesilapan lagi bagi membolehkan Thailand untuk menjaringkan gol kedua. Gol pasukan negara berjaya dihasilkan namun ianya berlaku di saat-saat akhir namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan mereka," menurut Ridzuan yang ditemui selepas perlawanan.

Keputusan diraih skuad negara itu sekali gus menyamai pencapaian pingat perak pernah dilakar pada temasya edisi 2008 di Kuala Lumpur apabila mereka turut bertemu skuad negara Gajah Putih itu pada pentas final.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan