BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
SUKAN

Lawan pedang: Joshua raih gangsa

14/05/2022 09:52 PM

Daripada Vikneswaran Raman

HANOI, 14 Mei (Bernama) -- Atlet lawan pedang negara Joshua Koh I-Jie ‘terbang’ ke temasya Sukan SEA ke-31 dengan harapan untuk menukar warna pingat daripada perak yang dimenanginya pada edisi lepas kepada emas.

Bagaimanapun, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dimenanginya dalam acara epee individu lelaki hari ini.

Atlet berusia 32 tahun itu tewas 5-15 kepada Jose Noelito Jr dari Filipina pada peringkat separuh akhir, dan berkongsi pingat gangsa dengan atlet dari Singapura Simon Renjie Lee yang turut terkandas dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Atlet tuan rumah Vietnam Nhat Nguyen Tien memenangi pingat emas keempat berturut-turut dalam acara tersebut selepas mengenepikan Jose 15-11 pada peringkat akhir acara epee lelaki berlangsung di Gimnasium Tertutup Hanoi.

Walaupun sedikit kecewa tidak berjaya meraih pingat emas keduanya di temasya dwitahunan itu, Joshua bertekad untuk bangkit dan melakukan yang terbaik dalam acara epee berpasukan lelaki.

“Sudah tentu kecewa kerana saya rasa boleh lakukan yang lebih baik. Perlu buat beberapa analisis dan melihat kesilapan yang dilakukan, kemudiannya mencari penyelesaian agar dapat lakukan lebih baik pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Joshua yang membuat kemunculan sulung di Sukan SEA edisi 2007 di Korat, telah meraih masing-masing satu pingat emas dan perak, selain empat gangsa keseluruhannya.

Sementara itu, pengurus pasukan Kimberly Janet Ansibin berkata kempen skuad lawan pedang negara diteruskan dalam acara foil individu lelaki diwakili Tristen Cheng Xing Han dan Hans Yoong Wei Shen, diikuti epee berpasukan lelaki dan foil berpasukan wanita pada Selasa dan foil berpasukan lelaki pada Rabu.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan