BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
SUKAN

Tuaian emas kontinjen Malaysia berterusan di Hanoi

14/05/2022 12:52 AM

Daripada Elmi Rizal Elias

HANOI, 13 Mei (Bernama) -- Seperti disasarkan, kontinjen negara terus cemerlang menuai pingat emas pada hari keenam Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam hari ini.

Selepas ‘terhenti sementara’ meraih kilauan emas bagi memberi laluan kepada upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Hanoi setelah tiada acara dipertandingkan semalam, kem Malaysia menambah dua lagi pingat emas hari ini menerusi acara wushu.

Skuad wushu menampilkan aksi cemerlang apabila mencipta kejutan merangkul dua pingat emas, selain sebutir perak menerusi disiplin taolu pada hari pertama sukan itu dipertandingkan.

Pingat emas pertama di Cau Giay Gymnasium itu, hadir menerusi Clement Ting Su Wei dalam acara changquan lelaki, sebelum Tan Zhi Yan mengungguli acara taijiquan lelaki bagi menghadiahkan pingat emas ke-11 negara.

Sementara itu, Calvin Lee Wai Leong membawa pulang pingat perak dalam acara nandao lelaki, bagi melengkapkan pencapaian cemerlang kem wushu hari ini.

Di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi, skuad bina badan turut tidak mengecewakan, apabila menyumbang satu perak dan satu gangsa, selepas sembilan tahun sukan tersebut tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA.

Azri Asmat Sefri membuat kejutan dengan meraih perak dalam kategori 55 kilogram (kg), manakala gangsa menerusi atlet berpengalaman Malvern Abdullah dalam kategori 65kg.

Skuad kurash pula membutirkan satu pingat gangsa pada hari penutup saingan, menerusi atlet berusia 18 tahun Mohamad Razlan Rozaidi dalam kategori bawah 73kg lelaki, di Gimnasium Hoai Duc, hari ini.

Ia merupakan gangsa ketiga kem kurash pada temasya sukan dwitahunan itu, sekali gus melepasi sasaran dua gangsa ditetapkan.

Pencapaian memenangi dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada hari ini, menyaksikan Malaysia kekal di tangga kedua keseluruhan dengan jumlah pungutan 11 emas, lima perak dan 13 gangsa.

Vietnam terus mendahului carta kedudukan, dengan kutipan keseluruhan 24 pingat emas, 11 perak dan 19 gangsa, manakala Indonesia di tempat ketiga dengan 7-9-2.

Sementara itu, empat wakil negara mengesahkan tempat ke separuh akhir acara silat tanding, setelah menumpaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir dalam saingan yang berlangsung di Gimnasium Bac Tu Liem.

Mengetuai cabaran negara dalam kelompok empat pesilat terbaik itu adalah juara dunia tiga kali Mohd Al-Jufferi Jamari, dalam kelas kelas F (70-75 kg), 

Tiga lagi wakil negara yang layak ke separuh akhir ialah Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas B Lelaki (50-55kg), Mohamad Hazim Amzad bagi kelas C Lelaki (55-60kg) dan Ahmad Atif Irshad Ahmad Zahidi untuk kelas D Lelaki (60-65kg).

Sementara itu, antara acara menjadi tumpuan esok adalah pertemuan Malaysia berdepan Singapura dalam saingan bola sepak lelaki di Stadium Thien Truong di wilayah Nam Dinh, kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Hanoi.

Kemenangan ke atas Singapura dalam perlawanan dijadual berlangsung pada 4 petang waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia) itu, akan mengesahkan tempat buat skuad negara ke peringkat separuh akhir.

Sebelum ini, skuad bimbingan Brad Maloney mencatat dua kemenangan dengan menewaskan Thailand 2-1 dan 3-1 menentang Laos.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan