BERITA COVID–19   KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | PKP: 70,000 pelajar IPT pulang ke kampung secara berperingkat mulai hari ini - Noraini | COVID: PKPD di dua lokaliti di Julau, Sarawak | PKP: Joging, berbasikal, senaman kini dibenarkan mulai 8 Mei | 
SUKAN

Peroleh dua gol awal, perancangan Nafuzi menjadi

05/05/2021 08:17 AM

KUALA NERUS, 5 Mei -- Perancangan Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain untuk mencari gol di awal perlawanan akhirnya ‘menjadi’ semalam, apabila dua jaringan berjaya dilakukan anak buahnya hanya selepas sembilan minit aksi Liga Super 2021 bertemu UiTM FC, bermula.

“Pada perlawanan sebelum-sebelum ini pun memang kita rancang untuk mencari gol awal dan para pemain tahu perkara ini. Alhamdulillah malam ini kita berhasil (menjaringkan gol awal),” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini.

Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Penyu mendahului 2-0 seawal sembilan minit pertama, permainan masing-masing menerusi David da Silva pada minit ketujuh dan Muhammad Faisal Abdul pada minit kesembilan, sebelum Rahmat Makasuf meledak gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-77.

Nafuzi berkata tiga mata penuh yang diperoleh semalam, sedikit sebanyak mengubati kekecewaan pasukannya yang tewas 1-4 kepada Penang FC, Sabtu lalu.

Sementara itu pengendali UiTM FC Frank Bernhardt mengakui, kelemahan barisan pemain pertahanan merupakan antara punca pasukannya ketinggalan dua jaringan pada awal perlawanan.

“… dan separuh masa kedua perlawanan kita mendapat peluang untuk menjaringkan gol, tetapi kami terlepasnya,” katanya yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan atas kekalahan itu.

Ditanya mengenai nasibnya sebagai ketua jurulatih selepas prestasi kurang memberangsangkan UiTM FC yang kini menghuni tangga tercorot  liga, pengendali dari Jerman itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pihak pengurusan pasukan.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan