BERITA COVID–19   COVID: 666,495 individu terima dua dos vaksin setakat semalam - Dr Adham | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan  | PKP: 70,000 pelajar IPT pulang ke kampung secara berperingkat mulai hari ini - Noraini | COVID: PKPD di dua lokaliti di Julau, Sarawak | 
SUKAN

Kerajaan P.Pinang mahu Penang FC kekal dalam Liga Super musim depan

26/04/2021 10:58 PM

GEORGE TOWN, 26 April -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mahu Penang FC mengekalkan kedudukan mereka sebagai pasukan dalam Liga Super musim depan setelah membuat kebangkitan pada tahun ini.

Beliau berkata tahun ini merupakan musim pertama pasukan Penang FC di Liga Super dan mereka telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada awal musim ini.

Menurutnya, sasaran kerajaan negeri adalah supaya pasukan Harimau Kumbang dapat mengakhiri Liga Super musim ini di kedudukan enam teratas dan berharap mereka akan dapat kekalkan momentum kemenangan.

"Memandangkan ianya pasukan baru, pemain baru dengan jurulatih baru, kita melihat mereka dapat bermain sebagai satu pasukan dengan kombinasi yang baik. Kami telah menyediakan sagu hati RM10,000 kepada Penang FC setiap kali pasukan itu memenangi perlawanan sebagai lonjakan motivasi kepada pemain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan dan Biasiswa Sukan di sini hari ini.

Chow berharap Penang FC akan terus mempamerkan persembahan yang bertenaga dalam perlawanan terakhir pusingan pertama menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Selepas bermain 10 perlawanan, Penang FC berjaya mengumpul 19 mata dan kini di tangga ke empat kedudukan carta Liga Super.

Terdahulu, Chow telah menyampaikan bantuan kepada 16 penerima Bantuan Biasiswa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di bawah program “Penang Athlete Career Education” (PACE) merangkumi bantuan insentif pendidikan secara sekali gus dan bantuan biasiswa sukan MSNPP.

Katanya, penerima hari ini merupakan kumpulan pertama yang akan menerima bantuan memandangkan inisiatif itu baharu dilancarkan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM66,100.

“Dalam usaha untuk membina landasan kerjaya yang progresif untuk atlet negeri, suka untuk saya umumkan bahawa satu program baru di bawah PACE turut akan diperkenalkan iaitu program “Penang Junior Coaches” dengan tujuan untuk memperkenalkan diri mereka dalam bidang kejurulatihan sebagai suatu landasan kerjaya selain daripada membantu memperkenalkan serta membangunkan sukan di sekolah-sekolah rendah buat peringkat permulaan program ini,” katanya.

Katanya, selain daripada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui program PACE juga menyokong usaha untuk mewujudkan Bantuan Skim Kebajikan Atlet Negari (SKAN) khas untuk menjaga kebajikan atlet-atlet negeri melalui inisiatif Bantuan Khairat Kematian, Bantuan Rawatan Penyakit, Bantuan Kos Pembedahan dan Bantuan Bencana Alam secara sekali gus.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan