BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
SUKAN

Hamidin ketuai kontinjen FAM terima suntikan vaksin COVID-19

19/04/2021 01:24 PM

PUTRAJAYA, 19 April -- Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin merupakan individu pertama daripada badan induk sukan berkenaan yang menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19, di Dewan Seri Seroja di sini, hari ini.

Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dan kapten pasukan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak juga antara 78 individu terawal daripada FAM yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Kumpulan penerima vaksin yang terlibat dalam program imunisasi berkenaan terdiri daripada pemain dan pegawai skuad bola sepak kebangsaan.

Pemain lain yang dilihat hadir menerima suntikan vaksin COVID-19,  termasuk dua pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Mohd Farizal Marlias dan Muhammad Syafiq Ahmad serta pemain Perak FC iaitu Mohd Shahrul Mohd Saad dan pemain naturalisasi kebangsaan Guilherme De Paula.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Pengurus Pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee turut hadir ke program berkenaan.

Suntikan berkenaan pastinya melegakan pemain dan pegawai FAM menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Sementara itu, Hamidin berpuas hati terhadap perjalanan program suntikan hari ini dan sangat menghargai bantuan daripada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dalam memastikan kem Harimau Malaya menerima suntikan vaksin dengan segera.

“Saya tengok SOP (prosedur operasi standard) program agak ketat...tak sakit pun bila cucuk tadi, pemain dan pegawai pun beri reaksi sama,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Hamidin memaklumkan bahawa lebih 40 pemain dan pegawai telah menerima suntikan dos pertama hari ini manakala baki yang terlibat dijangka disuntik pada Khamis ini di lokasi sama.

“Mereka tidak hadir atas sebab-sebab tertentu...suntikan dos kedua pula dijangka pada 10 Mei depan,” katanya.

Katanya, pemain yang sedang bermain di luar negara termasuk penyerang muda sensasi negara yang mewakili kelab Belgium, KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin, pemain kelab Chonburi FC (Thailand) Junior Edstal dan pemain naturalisasi negara yang kini beraksi di Australia bersama Newcastle Jets, Liridon Krasniqi tidak menerima vaksin di sini dan akan terus ke UAE sekiranya terpilih kelak.

Malaysia akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G untuk memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Skuad kebangsaan sebelum itu dijangka menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kuwait (23 Mei) sebelum menentang pasukan kebangsaan Bahrain pada 28 Mei.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan