BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
SUKAN

Pemain muda KDA FC perlu bukti kemampuan menentang Perak FC

16/04/2021 01:01 PM

ALOR SETAR, 16 April -- Beberapa pemain muda Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka akan diturunkan bagi menghadapi Perak FC malam esok, selepas enam pemain utama skuad Hijau Kuning itu tidak dapat beraksi ekoran kecederaan dan digantung perlawanan.

Ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berkata pemain-pemain muda berkenaan perlu mengambil peluang membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan itu, bagi memastikan pasukan dapat mengutip mata penuh walaupun beraksi di tempat lawan.

"Sebelum ini, ada empat pemain yang tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan tapi jumlah itu bertambah kepada enam selepas dua pemain dilayangkan kad merah pada perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) baru-baru ini.

"Tapi, saya percaya dengan semua pemain kita dan mereka akan beri yang terbaik. Ini merupakan peluang untuk pemain muda tunjuk apa yang mereka ada dan saya harap mereka semua ambil peluang ini dengan bijak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini malam tadi.

Renan Alves, Muhammad Syazwan Tajudin, Mohd Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Mohd Ghazali yang mengalami kecederaan tidak dapat beraksi malam esok, manakala Rodney Celvin dan Fadzrul Daniel tidak dapat diturunkan selepas menerima kad merah pada perlawanan menentang TFC, 9 April lepas.

Dalam pada itu, Aidil Sharin juga menjangkakan aksi menentang Perak FC, perlawanan pertama dalam bulan Ramadan mungkin sedikit sukar bagi anak buahnya dan pemain perlu tenang dan mencari gol awal bagi meletakkan kedudukan pasukan di tempat yang selesa dengan secepat mungkin.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan