BERITA COVID–19   Hampir dua bulan tanpa sidang media, KP Kesihatan kembali bentang perkembangan COVID-19 negara | Piala Sultan Azlan Shah 2021 batal susulan peningkatan kes COVID-19 | COVID: PKPD dilaksana di Kanowit dan Selangau, Sarawak | Op Rentas: 780 anggota polis Sarawak terlibat mulai Isnin | COVID: Kes baharu terus meningkat, catat 4,519 kes hari ini | 
SUKAN

Detik 100 hari ke Tokyo bangkit semangat atlet, sokongan masyarakat

14/04/2021 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 April  -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini melancarkan Detik 100 Hari ke Tokyo sebagai usaha membangkitkan semangat atlet menuju temasya Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan bermula Julai depan.

Bersempena dengan majlis yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu, Reezal Merican turut melepaskan lima peserta Program Kayuhan Jelajah Road to Tokyo 2020 yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan masyarakat seluruh negara.

Program jelajah itu akan bermula dan berakhir di Bukit Jalil sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung pada awal Julai.

“Ini bukan untuk memberi tekanan kepada para atlet kita, tidak sama sekali. Apabila kita membuat keputusan untuk mengadakan pelancaran pengiraan 100 hari kita hanya ingin memperkukuhkan tiga perkara penting kepada semua atlet Malaysia.

Pertama anda semua (atlet) tidak berseorangan dalam perjalanan Olimpik, kedua ia bagi memenuhi harapan, keinginan serta doa rakyat dan ketiga, jelajah sokongan dilancarkan akan menjadi ‘sorakan gempita’ untuk semua atlet,” katanya pada majlis pelancaran itu di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Lee Chong Wei dan barisan atlet negara.

Pada masa sama, Reezal Merican turut melancarkan laman sesawang rasmi kontinjenmalaysia.my yang akan menjadi medium hebahan makluman semasa, platform untuk mendapatkan sokongan dan pandangan rakyat terhadap para atlet yang bakal berjuang di dua temasya berprestij itu.

Sementara itu, tanda pagar #DEMIMALAYSIA dijadikan slogan atau laungan perang  yang akan digunakan bagi membakar semangat atlet menuju Tokyo 2020 selain kod respons pantas Road To Tokyo (RTT) 2020 juga diaktifkan bagi tujuan melihat taburan penyokong RTT 2020.

Sehingga kini 12 atlet telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sementara 23 atlet Program Road To Tokyo sedang berusaha melayakkan diri menerusi proses kelayakan yang masih berlangsung sehingga Jun depan.

Sementara 10 atlet para negara telah melayakkan diri ke temasya Paralimpik dijadual berlangsung pada Ogos, manakala 14 atlet masih menjalani proses kelayakan yang turut tamat pada Jun.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan