BERITA COVID–19   PKP: Polis Petaling Jaya tambah dua lagi SJR | Kerajaan Kelantan larang gerai, penjaja tepi jalan beroperasi mulai esok | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | COVID: 666,495 individu terima dua dos vaksin setakat semalam - Dr Adham | 
SUKAN

Megat Zulkarnain sah terajui Pesaka

11/04/2021 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 11 April -- Datuk Megat Zulkarnain Omardin sah menyandang jawatan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) sekali gus melakar sejarah sebagai ‘anak silat’ pertama dilantik menduduki kerusi nombor satu badan induk itu.

Lebih membanggakan, bekas Setiausaha Agung PESAKA berusia 52 tahun itu dipilih sebulat suara oleh 20 ahli gabungan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah pula mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden, manakala tiga slot Naib Presiden dimenangi Datuk Mohd Arpan Shari, Mohd Ariff Mat Hanafiah dan Datuk Adiwijaya Abdullah sementara Bibi Aishah Golbal Shah dilantik sebagai Setiausah Agung baharu.

“Selepas ini banyak tanggungjawab saya. Banyak perkara yang perlu dibincangkan untuk memacu PESAKA agar lebih berjaya. Bagi saya, tugas sebagai Presiden PESAKA adalah besar. Tahun ini ada kejohanan Silat Dunia (di Sarawak) tiga hari selepas tamatnya Sukan SEA di Vietnam.

Sukan SEA Hanoi 2021akan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis ini.

“Bukan mudah nak uruskan skuad silat ke Sukan SEA dengan sasaran besar, kemudian balik dari Hanoi terus ke Kejohanan Dunia,” katanya dalam sidang media selepas AGM itu.

Pelantikan Megat Zulkarnain menggantikan Tun Mohd Ali Rustam yang mengambil keputusan melepaskan jawatan itu setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka.

AGM PESAKA sepatutnya berlangsung pada September tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata antara misi lain yang masih belum selesai dan akan diberi perhatian adalah pembinaan Kompleks Silat Negara yang sebelum ini telah diluluskan kerajaan terdahulu, namun masih tertangguh.

Beliau berkata perkara itu akan diuruskan secepat mungkin memandangkan kompleks tersebut bakal melambangkan silat sebagai seni mempertahankan diri warisan negara.

“Satu lagi adalah untuk memastikan silat dijadikan sukan demontrasi pada Sukan Olimpik 2028 dengan mengadakan perbincangan bersama persatuan di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Megat Zulkarnain memegang jawatan Setiausaha Agung PESAKA sejak berusia 30-an dan merupakan anak sulung Pendekar Negara yang juga Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan