BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
SUKAN

Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas olimpian Sabiamad

11/04/2021 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 April  -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jaguh sukan menembak Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam. 

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Olimpian negara itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini. 

“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada sukan menembak negara. 

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan Istana Negara dalam laman Facebook hari ini.

Sebagai rekod, Sabiamad sebelum ini pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat pada 1984 dalam acara menembak dan beraksi sebagai penembak kebangsaan dari 1981 sebelum bersara pada awal 1990-an. 

Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara dan juga acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard Pistol. 

Sabiamad pernah meraih pingat emas untuk negara dalam acara 50 m pistol lelaki individu pada Sukan SEA 1983 di Singapura. 

Selepas persaraan, beliau aktif membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan negara dan pernah menjadi pengurus pasukan menembak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan SEA 2017 di Singapura dan Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil. 

Sabiamad juga pernah menjadi Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). 

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan