BERITA COVID–19   Rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis | Dakwaan KKM manipulasi jumlah kes positif COVID-19 adalah tidak berasas -- Ismail Sabri | Thailand rancang tambah 10 juta lagi dos vaksin COVID-19 | COVID: Empat lagi kluster baharu diisytihar di Sarawak | PKP di Mukim Endau, Mukim Triang di Mersing, Johor mulai esok hingga 3 Mei | 
SUKAN

Perak FC cari penaja, tawar saham pasukan sebagai alternatif - Ahli Lembaga Pengarah

08/04/2021 04:14 PM

IPOH, 8 April  -- Perak FC kini membuka tawaran kepada mana-mana pihak untuk menjadi penaja, sekali gus membantu menyelesaikan gaji tertunggak pemain pasukan tersebut, kata  Ahli Lembaga Pengarahnya Khairul Shahril Mohamed.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata, pihaknya sedang mengesan mana-mana pelabur yang berminat termasuk dari pihak swasta untuk menjadi penaja, dengan membeli saham pasukan sebagai alternatif kepada situasi menang-menang.

“Kita masih lagi mengenal pasti pihak yang berminat, kerana kita mahu pihak yang betul-betul boleh uruskan. Ada yang datang bawa kertas cadangan tetapi kita mahu yang telus, bukannya minta tanah dan sebagainya. Itu kertas cadangan yang dilihat tidak begitu adil kepada kami.

“Saya akan cari jalan sebaiknya. Saya tawarkan kepada mana-mana pihak untuk membantu menyelesaikannya, termasuk menjadi penaja dan membeli saham,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai taklimat pelaksanaan penambahbaikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi Perak, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ­Digital Perak Meor Rezal Fitri Datuk Meor Redwan, dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Perak Zairul Nahar Zakaria. 

Semalam dilapor, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, adalah tidak adil untuk menuding jari menyalahkan kerajaan negeri sepenuhnya, dalam isu kegagalan Perak FC membayar gaji para pemain dipercayai dua bulan tertunggak.

Saarani berkata, kerajaan negeri telah membayar sebanyak RM4 juta tunggakan gaji pemain Perak FC, sekali gus menepis dakwaan peminat bola sepak Perak kononnya kerajaan negeri tidak prihatin dengan masalah dihadapi pasukan itu.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata selain bayaran tersebut, kerajaan negeri juga telah membantu membayar tunggakan gaji untuk bulan Februari sebanyak kira-kira RM900,000 bagi Perak FC semalam, dan berharap isu tidak berlarutan selama dua bulan serta boleh diselesaikan sebelum kedatangan Hari Raya Puasa Mei ini.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan