BERITA COVID–19   PKPD di Kampung Serumah, Padawan mulai esok - JPBN | 205 individu ditahan semalam ingkar SOP PKP - Ismail Sabri | COVID: 1,680 kes baharu, tujuh kematian direkodkan hari ini | MAIS salur wang fidyah RM545,500, bantu 5,455 keluarga terkesan COVID-19 | Aktiviti sukan, rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP | 
SUKAN

MHL diteruskan walaupun kos dijangka cecah RM2 juta - KHM

23/02/2021 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb  -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) komited dalam menjayakan penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 walaupun kosnya dijangka boleh mencecah RM2 juta.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata peningkatan kos itu berlaku kerana pihaknya perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk konsep gelembung sukan saingan liga yang dijadualkan bermula 11 Mac hingga 3 April ini. 

Di bawah gelembung MHL, semua pemain, jurulatih dan pegawai terlibat akan ditempatkan di penginapan yang sama dan tidak dibenarkan keluar atau bergaul dengan pihak di luar gelembung itu.

"Saya rasa angka RM300,000 itu tidak betul, bayangkan nak bagi tidur hotel, makan minum, pengangkutan, semuanya perlu  dijaga serapi-rapinya untuk menunjukkan kita yang terbaik. Kita akan buat apa sahaja yang kerajaan minta kita buat (untuk membuktikan)  kita boleh anjurkan liga dengan jaya, tanpa sebarang masalah, dan kita boleh jadi model peranan bagi mana-mana sukan di negara ini.

"Mungkin makan belanja RM2 juta… Kita terpaksa bertungkus-lumus untuk cari penaja seperti penginapan, selain bantuan besar daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Macam mana sekalipun, ia (MHL) akan berlangsung pada Mac ini,” katanya pada sidang media mengenai pengumuman Pusat Latihan Program Khas Akar Umbi di Stadium Hoki Nasional, di sini hari ini. 

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata kos bagi gelembung MHL untuk menempatkan kira-kira 600 orang di penginapan yang disediakan bermula 10 Mac dianggarkan sekitar RM300, 000.

Sementara itu, Subahan juga yakin pihak Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi pelepasan kepada pemain berstatus pelajar untuk menyertai MHL kali ini di sebalik kerisauan mengenai pandemik COVID-19. 

"Insya- Allah kita akan maklumkan dalam masa terdekat (mengenai persetujuan KPM), tapi saya rasa tak ada masalah kerana KPM pun rakan kongsi kita bersama-sama MSN (Majlis Sukan Negara)," katanya. 

Beliau juga mengesahkan bahawa kesemua lapan pasukan bagi kategori lelaki dan enam pasukan bagi kategori wanita yang telah mendaftar akan meneruskan penyertaan mereka. 

Bagi kategori lelaki, juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah telah mengesahkan penyertaan sebelum ini. 

Kategori wanita pula dibarisi oleh PKS UniTen, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies. 

-- BERNAMA 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan